Oleh Qayum Rahman
KUALA LUMPUR: Hakim mesti bijak menilai bukti penyelewengan berunsur rasuah yang ditaburkan ketika kempen pilihan raya kecil (PRK) parlimen Hulu Selangor yang berlangsung pada 25 April lalu.
Peguam Malik Imtiaz Sarwar berkata, hakim perlu bijak membuat penilaian tentang janji-janji yang ditaburkan oleh para pemimpin politik ketika kempen pilihan raya sama ada, wujud unsur-unsur rasuah.
Beliau berkata demikian ketika berhujah di depan hakim Azahar Mohammed di Mahkamah Tinggi di sini pagi ini bagi membela dan menyokong petisyen daripada kliennya, Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim.
Malik mendakwa terdapat beberapa individu penting terlibat dalam menyelewengan ketika kempen PRK di kawasan itu untuk membantu kemenangan calon Barisan Nasional (BN) P. Kamalamathan.
Malik berkata, petisyen yang dikemukakan mempunyai sumber kukuh membuktikan Kamalanathan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjanjikan "gula-gula", yang boleh dianggap sebagai sogokan kepada rakyat.
Beliau berkata, antara rasuah yang dijanjikan adalah memberi sejumlah wang RM3 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Kalumpang dan RM50,000 setiap seorang bagi sekumpulan peneroka Felda Sungai Buaya.
Najib janji pelbagai faedah kewangan
"Najib berjanji kepada rakyat Hulu Selangor untuk memberi pelbagai faedah kewangan tetapi rakyat perlu memastikan BN memenangi PRK Hulu Selangor.
"Yang Arif, ini adalah satu bentuk penyelewengan untuk mengaburi mata umum memilih sebuah parti bagi memenangi pilihan raya. "Tindakan kedua-dua individu ini jelas menunjukan wujudnya rasuah dan disifatkan sebagai tidak adil semasa berlangsungnya PRK" hujah beliau.
Zaid yang turut hadir di Mahkamah berkata, "Peguam Negara (Abdul Gani Patail) yang mewakili Suruhanjaya Pilihanraya (SPR)hanya menumpukan kepada isu-isu teknikal.
"Peguan Negara yang memberi hujah hari ini tidak fokus kepada isu sebenar mengenai petisyen yang dikemukakan.
"Mahkamah mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan kes ini dan saya rasa tidak berpuas hati kerana membuang masa saya" katanya di luar kamar Mahkamah Tinggi hari ini.
Datuk Zaid memfailkan petisyen kepada mahkamah bagi mengisytiharkan keputusan PRK parlimen Hulu Selangor terbatal dan tidak sah.
Mahkamah akan bersambung semula jam 2.30 petang ini untuk terus mendengar hujah daripada Malik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan