Oleh Muda Mohd Noor
KUALA LUMPUR: Pilihan raya umum (PRU) akan datang menjadi kayu pengukur sama ada rakyat menerima atau tidak Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak April lalu.
Senator Datuk Abdul Rashid Ngah berkata, selagi PRU tidak diadakan, kerajaan tidak tahu sama ada rakyat menerima MBE atau tidak.
Orang Melayu pula katanya, mungkin tidak begitu gemar dengan MBE ini kerana elemen Bumiputera tidak dimasukkan ke dalam MBE.
"Saya tidak tahu mengapa elemen Bumiputera sukar untuk dimasukkan dalam MBE itu. Pasukan yang merancang MBE menghadapi masalah untuk memasukkan elemen bumiputera dalam model itu," katanya ketika membahaskan mengenai RMK-10 di Dewan Negara hari ini.
Senator dari Terengganu itu berkata, kerajaan belum memberi taklimat kepada senator mengenai MBE ini sedangkan taklimat telah diberikan kepada pelabur dan bank. Apa yang penting dalam RMK-10 dan MBE ialah peningkatan ekuiti Bumiputera.
Katanya, oleh itu kerajaan perlu mewujudkan sebuah majlis untuk memantau pelaksanaan RMK-10 dan MBE bagi memastikan kejayaan penyertaan Bumiputera.
"Janganlah nanti, sekiranya ada 10 RMK sekali pun tetapi orang Melayu dan Bumiputera macam tu juga. Seperti pepatah, "10 Jong Masuk, Anjing Bercawat Ekor Juga"," katanya.
Nisbah penduduk negara
Abdul Rashid juga mendakwa projek mega dalam RMK-10 hanya dilaksanakan di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung serta Sabah dan Sarawak tetapi tiada satu pun di Pantai Timur, kawasan majoriti Melayu.
Katanya, kerajaan tahu bahawa nisbah penduduk negara ialah Melayu/Bumiputera berbanding bangsa lain ialah 60:40 peratus. Jadi pembangunan negara mestilah berdasarkan nisbah penduduk, tambahnya.
Sementara itu Senator Saripah Aminah Syed Mohd pula berkata, orangb Melayu sudah banyak bertolak ansur dengan kaum lain.
Oleh yang demikian beliau menggesa kaum lain supaya jangan mempersoalkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.
Beliau berkata, bukan sahaja pembangkang yang berbuat demikian tetapi komponen Barisan Nasional (BN) turut berbuat demikian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan