KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengajak PAS supaya duduk semeja bagi membincangkan mengenai perpaduan umat Islam negara ini.
“Kita nak bercakap mengenai perpaduan ummah, perpaduan umat Islam dan saya rasa dalam ajaran Islam sendiri amat menuntut kesepaduan umat dan kalau kita asyik letak syarat sampai bila pun perpaduan tidak akan tercapai.
“Apa-apa pun kita duduk bincang dulu, kita tidak boleh paksa orang datang kepada kita tapi usaha berterusan dan pintu untuk kerjasama antara Umno dan PAS sentiasa terbuka.
“Ia macam orang kahwin, kalau seorang dok gila tapi kalau seorang lagi tidak mahu nak buat macam mana? katanya ketika sidang media selepas merasmikan Seminar Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan Kedua di Akademi Pengajian Islam di sini.
Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengatakan bahawa Umno sentiasa bersikap terbuka untuk mengadakan sebarang perundingan dengan PAS yang menjurus kepada perpaduan.
Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden Umno berkata rundingan perpaduan itu mestilah dibuat tanpa prasyarat.
“Kita sentiasa terbuka (untuk berbincang dengan PAS mengenai perpaduan) tetapi jangan ada prasyarat dan terus menghina Umno dalam ucapan-ucapan mereka.
“Kalau nak berbincang janganlah kutuk antara satu sama lain,” katanya.
Malah Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mendedahkan bahawa beliau mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau ini.
Namun beliau berkata beliau tidak pernah berputus asa demi mengekalkan kebaikan dan perpaduan umat Islam di negara ini, khususnya antara parti Umno dan PAS.
“Masih ada harapan (ke arah perpaduan orang Melayu), jika kita bijak mengutamakan perkara yang lebih penting ke arah mencapai matlamat ini.
“Harapan itu ada kerana kedua-duanya (Umno dan PAS) memang hendak bersatu. Itulah cita-cita saya,” katanya.
Sehubungan itu Jamil Khir mengajak supaya semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ulama dan orang ramai supaya mementingkan perpaduan umat Islam tanpa mengambil kira soal parti.
“Saya bercakap bukan soal parti sahaja tapi kita bercakap tentang soal umat sejagat, jadi semua pihak seharusnya mementingkannya.
“Di Malaysia kita bukan bercakap tentang Umno dan PAS semata-mata tapi kita nak semua orang terlibat dalam perpaduan umat ini kerana kita mempunyai arah kiblat sama, Al-Fatihah sama, puasa sama, haji sama, sembahyang sama, maghrib dan Isyak sama malah buka puasa pun waktu yang sama.
“Jadi dengan sedikit perbezaan kenapa kita tidak boleh duduk bersama bagi menyelesaikannya demi untuk melihat masa depan ummah dan Islam di negara kita,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan