Khalid: kerajaan persekutuan terlalu terburu-buru.
KUALA LUMPUR — Sambil menegaskan kerajaan pusat “terlalu terburu-buru”, kerajaan negeri Selangor hari ini menafikan dakwaan Putrajaya bahawa Lembah Klang akan berhadapan dengan krisis air kedua menjelang tahun 2014.
Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Selangor mengambil berat hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menyegerakan pelaksanaan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) walaupun anggaran kosnya telah meningkat dari RM2 bilion kepada RM8 bilion.
“Selangor berpendapat kerajaan persekutuan terlalu terburu-buru untuk melaksanakan PPAMPS dengan hanya berdasarkan unjuran bahawa akan berlaku krisis bekalan air jika projek ini tidak dimulakan sekarang.
“Ini jelas apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui baru-baru ini menuduh Selangor sengaja melengahkan pelaksanaan PPAMPS dan memberi amaran bahawa Selangor akan dipersalahkan jika berlaku krisis bekalan air pada masa akan datang.
“Adalah dipercayai bahawa kedua menteri tersebut telah dikelirukan sehingga mempercayai bahawa krisis air akan berlaku pada 2014,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Khalid berkata, nasihat yang diperoleh oleh kerajaan Selangor daripada pakar industri air dan juga kajian berdasarkan pertumbuhan penduduk, jumlah penggunaan air dahulu dan sekarang dan kapasiti pengeluaran air, bekalan air yang sedia ada sekarang ini mampu menampung keperluan di Lembah Klang sehingga 2019.
“Kerajaan negeri sedar projek ini ada kebaikannya. Namun ia tidak perlu disegerakan tanpa mengambil kira pemahaman menyeluruh industri air termasuk proses penstrukturan semula industri air Selangor.
“Kami percaya masa yang sesuai untuk projek ini dilaksanakan adalah pada 2015 atau 2016 dan jika ia dipercepatkan tanpa kajian, kos itu akan meningkatkan beban hutang kerajaan Malaysia,” kata Khalid.
Sehubungan itu, Khalid menekankan bahawa Selangor mahu kerajaan persekutuan memberi keutamaan kepada alternatif lain dan tidak terlalu mudah melaksanakan projek mahal menggunakan wang rakyat.
Salah satu alternatif yang disyorkan oleh Khalid ialah mengurangkan pembaziran air dengan mempromosikan kitar semula air, mengumpul dan memproses air hujan yang boleh dilakukan secara bersama kerajaan persekutuan dan Selangor.
Selain itu beliau juga menyarankan agar sumber alternatif air yang boleh diteroka seperti air sungai, tasik dan memperkenalkan teknologi air bawah tanah.
“Ketiga, dengan mengurangkan kadar air tanpa hasil (NRW) dari 35 peratus kepada kurang 20 peratus, seperti yang berjaya dicapai oleh syarikat air Pulau Pinang,” katanya.
Khalid berkata, sistem penghantaran air yang cekap adalah penyelesaian terbaik bagi menampung permintaan pengguna. Oleh itu, perlu dipastikan air di utara Selangor dihantar dengan cekap ke wilayah selatan.
“Selangor mengamalkan pengurusan kewangan berhemat, bijaksana dan berharap kerajaan persekutuan turut melakukan perkara yang sama.
“Selangor meminta kerajaan persekutuan melakukan kajian menyeluruh, analisis, statistik secara terperinci mengenai pengeluaran air, penggunaan dan permintaan berdasarkan fakta dan angka berbanding membuat keputusan tergesa-gesa yang melibatkan wang pembayar cukai,” katanya lagi.
Pada 11 Julai lalu, Muhyiddin mengingatkan kerajaan Selangor supaya segera menyelesaikan masalah bekalan air di Selangor dan Wilayah Persekutuan bagi memastikan kedua-dua negeri tidak berdepan dengan krisis air terburuk menjelang 2012.
Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan pusat telah beberapa kali membuat rundingan dengan kerajaan Selangor mengenai isu berkenaan termasuk mengenai pelan pengambilan tanah untuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 untuk Projek Penyaluran Air Mentah Pahang dan Selangor yang masih tidak dipersetujui kerajaan negeri.
“Untuk jangka panjang, kita dah setuju nak bawa air dari Pahang ke Selangor dan Wilayah Persekutuan. Jika tidak dibuat dalam tempoh itu, kalau tak silap saya (akan) jadi masalah genting. Itu tidak dipersetujui kerajaan Selangor.
Pada Sabtu lalu, Pengerusi Eksekutif Syabas Tan Sri Rozali Ismail pula berkata pembinaan loji itu untuk memproses air mentah yang bakal disalurkan dari Pahang untuk kegunaan penduduk di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur tidak boleh dilengah-lengahkan.
Katanya, pada masa ini bekalan air di Selangor masih tidak stabil dan boleh berkurangan sekiranya berlaku pencemaran sungai atau ketiadaan hujan yang berterusan.
Beliau menambah, Syabas telah memberikan cadangan penambahbaikan bekalan air di Selangor bagi mengelakkan krisis air daripada berlaku dan kerajaan negeri tidak boleh menunggu sehingga tahun 2014 untuk bertindak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan