SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melahirkan kebimbangan apabila isu penyelewengan pasir di Selangor semakin dipolitikkan sehingga boleh menjejaskan bukti yang diperlukan bagi menjalankan siasatan.
Pengarah Siasatan SPRM, Mustafar Ali berkata, penyelewengan yang didedahkan di media tidak pernah didiamkan agensinya, sebaliknya berusaha menyelesaikannya dengan berhemah.
"Kita menyiasat tanpa mengira warna (parti) bagi memastikan jenayah rasuah tidak berleluasa.
"Kita tidak mendiamkan diri, cuma tidak menghebahkan berapa dipanggil dan berapa disiasat. Kalau hebahkan ia tidak dipanggil siasatan, itu hebahan," katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, SPRM meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung sebarang penyele:wengan agar segera membuat laporan kepada mereka.
"SPRM akan menerima laporan dan mengambil tindakan segera. Kita menerima maklumat daripada banyak pihak. Kita hargai usaha mereka yang tampil memberi keterangan," katanya.
Menurutnya, jika dipolitikkan, ia boleh menjejaskan keberkesanan siasatan.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar Sabtu lalu mendakwa mempunyai bukti wujud penyelewengan dan amalan pilih kasih oleh anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) dalam menawarkan pembelian pasir kepada syarikat kontraktor.
Baru-baru ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull melahirkan rasa kecewa kerana pihaknya selama ini tidak mendapat kerjasama daripada Kerajaan Selangor untuk menyiasat kes yang berlaku di negeri itu.
Katanya, SPRM yakin pihaknya sukar untuk mendapat kerjasama Kerajaan Negeri itu untuk menyiasat isu terbaru yang berlaku membabitkan perlombongan pasir tidak terkawal di Bukit Changgang di Dengkil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan