SHAH ALAM – Kompleks Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) Bagan Terap, Sabak Bernam tidak akan ditutup sebaliknya akan dimanfaatkan sebagai Pusat Motivasi Pembinaan Modal Insan untuk rakyat di negeri ini.
Pengurus Besar, Yayasan Selangor, Ilham Marzuki berkata, Yayasan Selangor berasa amat kesal kerana terdapat pihak yang mengambil kesempatan untuk menjadikan perpindahan pelajar Institut Kemahiran Yayasan Selangor ke Kolej INPENS di Kuala Selangor sebagai satu isu.
“Kami ingin menegaskan bahawa perpindahan ini tidak akan menganiayai mana-mana pelajar di mana pelajaran mereka akan diteruskan seperti biasa. Malah, ia juga tidak mendatangkan apa-apa perubahan dari segi kursus dan program, tenaga pengajar, pengiktirafan persijilan, dan mutu pengajaran kecuali perubahan tempat sahaja.
“Kami juga ingin menegaskan bahawa laporan akhbar yang mengatakan Kompleks IKYS akan ditutup adalah tidak benar kerana ianya digunakan untuk latihan khidmat nasional dan program pembinaan modal insan,” katanya semalam.
Katanya, keputusan tersebut merujuk kepada Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor kali ke-85 bil. 02/2010 yang memaklumkan bahawa semua pelatih dan program IKYS akan diserap dan digabungkan ke Kolej INPENS di Kuala Selangor.
“Penyerapan atau penggabungan ini tidak akan menjejaskan pelaksanaan pengajian serta pentauliahan sijil dan kursus seperti yang ditawarkan kepada pelatih.
“Malah ia tidak menjejaskan kemudahan Pinjaman Pendidikan Yayasan Selangor yang ditawarkan kepada pelatih, kos pengajian, penginapan dan peperiksaan pelatih di tempat baru,” katanya.
Katanya, penggabungan program kemahiran Pendawaian PW2dan PW4 serta Kursus Penghawa Dingin Tahap 1 dan Tahap 2 adalah bagi menamatkan pertindihan program atau kursus kemahiran yang dijalankan oleh Yayasan Selangor dan Kolej Inpens di mana kedua-duanya adalah agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor.
“Kita telah diberi peranan yang khusus untuk pembinaan modal insan melalui pendidikan di peringkat rendah dan menengah dan menyediakan dana untuk membiayai pelajar sehingga ke peringkat IPTA dan IPTS.
“Oleh yang demikian, perpindahan pelajar-pelajar IKYS (aliran vokasional) ke Kolej INPENS adalah tepat dan tidak bercanggah dengan peranan Yayasan Selangor,” katanya.
Menurutnya, perkara ini adalah selaras dengan hasrat untuk merasionalisasikan dan menyelaras fungsi agensi Kerajaan supaya tidak ada pertindihan antara agensi-agensi kerajaan.- SINARHARIAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan