KUALA LUMPUR— Keluarga Norizan Nor, penghuni Rumah Titian Kasih (RTK) yang hilang sejak dua minggu lepas, kesal apabila kehilangan wanita itu tidak dimaklumkan oleh pengurusan pada hari kejadian.
Ibu wanita itu, Aminah Mahmud, 56, berkata kehilangan Norizan, 39, hanya dimaklumkan selepas 19 hari malah pihak pengurusan membuat laporan polis mengenai kehilangan wanita itu pada 12 Jun.
“Pada 30 Jun, kira-kira pukul 3 petang, saya menerima panggilan telefon daripada pihak pengurusan bahawa Norizan hilang pada 29 Jun sedangkan sebenarnya dia telah didapati hilang pada 11 Jun.
“Saya tidak berpuas hati apabila pihak pengurusan lewat memaklumkannya dan kami terus bergegas ke sini dari Jerteh, Terengganu tetapi kami bertambah kecewa apabila kehadiran kami tidak dilayan,” katanya kepada pemberita di RTK di sini hari ini.
Aminah mendakwa beliau dan keluarga tiba di RTK kira-kira pukul 10 malam 30 Jun dan menghubungi pengusaha RTK, namun mereka tidak dipedulikan dengan alasan RTK mempunyai tetamu.
Beliau berkata apabila diminta untuk melihat laporan polis yang dibuat oleh pihak pengurusan, mereka memberikan pelbagai alasan.
“Jadi, kami terus ke Balai Polis Jalan Tun Razak untuk membuat semakan laporan namun tiada laporan yang dibuat pada 29 Jun sebaliknya laporan yang dibuat adalah pada 12 Jun,” katanya.
Aminah berkata beliau sangat terkilan dengan sikap pengurusan yang tidak jujur dan tidak bertanggungjawab terhadap kehilangan anaknya.
Beliau turut melahirkan rasa risau dengan keadaan anaknya kerana Norizan perlu mengambil ubat untuk penyakit sawan yang dihidapinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan