Dalam bahagian pertama laporan ini, FMT melihat sejarah pertikaian Pulau Batu Puteh di mana Malaysia tewas kepada Singapura. Dua peguam Singapura yang terlibat dengan kes ini menyuarakan pendapat mereka dalam sebuah buku yang mereka tulis.
Oleh Stephanie Sta Maria
KUALA LUMPUR: Pulau Batu Puteh, sebuah kepulauan yang terletak di lingkaran kawasan perairan Malaysia kini hilang dalam sejarah negara apabila Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberikan kedaulatannya kepada Singapura.
Walaupun pulau itu berukuran lebih kurang separuh daripada keluasan sebuah padang bola sepak, terletak 7.7 batu nautika di luar pantai Tanjung Penyusoh di Johor keputusan telah pun ditetapkan. Manakala ICJ memutuskan Middle Rocks dimiliki oleh Malaysia.
Menteri Luar ketika itu Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan keputusan itu sebagai ’situasi menang-menang’, namun dipertikai oleh kebanyakan rakyat Malaysia.
Malaysia bagaimanapun mungkin akan kehilangan lebih banyak haknya jika tidak kerana Jayakumar dan Tommy Koh.
Jayakumar kini merupakan Menteri Kabinet Singapura, manakala Koh merupakan peguam antarabangsa dan juga Duta bagi kerajaan Singapura.
Kedua-dua mereka pernah terlibat dalam kes pertikaian Pulau Batu Puteh dan bekerjasama menerbitkan sebuah buku mengenai hal ini.
Buku bertajuk ‘Pedra Branca: The Road to the World Court’ menceritakan kisah mengenai persediaan Singapura sebelum kes itu dibawa ke ICJ, dan juga cara Malaysia mengendalikan kes semasa prosiding mahkamah.
Pedra Branca (perkataan Portugis yang bermaksud Batu Puteh), menurut penulisnya, mendakwa Malaysia kadangkala dilihat "mengambil beberapa langkah terdesak" sehingga menimbulkan beberapa persoalan.
Tindakan itu termasuk kesilapan menterjemah teks dengan sengaja, menekankan beberapa petikan bagi menyokong hujah mereka, selain memanipulasikan gambar Pulau Batu Puteh sehingga menampakkan ia lebih dekat dengan Kepulauan Johor.
Salah diri sendiri
Taktik sebegitu sekaligus mengesahkan dakwaan peguam Malaysia Karpal Singh yang menyatakan Malaysia perlu menyalahkan diri sendiri kerana ‘kehilangan’ pulau berharga itu.
Ketika keputusan itu diumumkan, Karpal mempersoalkan sama ada kerajaan Malaysia menerima penasihat perundangan yang tidak berpengalaman.
Namun selepas membaca Pedra Branca, beliau menyimpulkan kehilangan itu terletak pada dua perkara penting, iaitu Malaysia berhadapan dengan pasukan peguam Singapura yang hebat, dan kesilapan percaturan strategi peguam Malaysia.
"Singapura bijak membaca strategi kes dan pasukan kita. Singapura mengemukakan ketua hakimnya, pakar undang-undang laut terkenal (Koh) dan bekas Menteri Undang-Undang (Jayakumar)," katanya.
Manakala Malaysia mengemukakan Delegasi Malaysia Abdul Kadir Mohamad, Duta Malaysia ke Belanda Noor Farida Ariffin, Menteri Luar Syed Hamid Albar dan Peguam Negara Abdul Gani Patail, serta beberapa individu yang menjadikan 60 orang, dua kali ganda kekuatan barisan Singapura.
"Persediaan Singapura juga mantap," katanya semasa mengulas laporan gerak kerja pasukan Singapura dalam buku itu.
"Ketelitian mereka semasa mengendalikan kes membolehkan mereka membina premis dan hujah yang dapat meyakinkan ICJ.
"Malaysia sebaliknya pula dilihat seperti tidak mempunyai banyak bukti untuk menyokong hujah mereka. Malah, kita sebenarnya hanya bernasib baik kerana memperoleh kedaulatan Middle Rocks," katanya.
Karpal juga menimbulkan persoalan terhadap syarat rundingan dalam Perjanjian Khas antara dua pihak yang mahu merujuk kes ini kepada ICJ.
Salah satu syaratnya adalah Malaysia mencadangkan ICJ membantu hak atau kepentingan ‘parti yang kalah’.
Walaupun pasukan Singapura mentafsirkan syarat itu sebagai Malaysia mahu kedua-dua pihak mendapat manfaat, Karpal pula menyifatkan ia sebagai ‘langkah selamat’.
Silap dalam tawar menawar
"Syarat itu memberi kesan jelas bahawa kita memang tidak akan memenangi kes itu. Jika kita yakin mampu memenanginya, kita tidak akan cuba tawar-menawar dalam kes ini.
"Selepas mengikuti perkembangan kes ini termasuk seperti yang dilaporkan dalam media, saya dapat melihat dengan jelas kita akan kalah teruk.
"Keputusan hakim hanya mengesahkan perkara itu," katanya.
Namun, penulis buku itu menggambarkan taktik yangg dilakukan Malaysia sebagai ‘tidak boleh diterima dalam mana-mana mahkamah perundangan domestik’.
Kekecewaan turut dilahirkan apabila Malaysia digambarkan seperti ‘mengambil jalan keluar menggunakan taktik-taktik sedemikian mendahului mahkamah tertinggi di dunia’, dan perkara ini dipersetujui Karpal sepenuhnya.
"Penghinaan terbesar adalah dituduh mengelirukan pihak lain. Penulis buku ini menggunakan perkataan yang keras dan ini memalukan kita kerana sesiapa yang membaca buku ini akan mempunyai tanggapan buruk terhadap Malaysia," katanya.
Karpal melahirkan kesangsiannya mengenai gambar bukti tanah besar Johor dalam latar belakang Pulau Batu Puteh dan mendakwa gambar itu dimuat turun daripada sebuah blog yang didapati wujud sebulan sebelum pendengaran kes bermula.
Delegasi Singapura mengarahkan pasukannya supaya mengambil gambar Pulau Batu Puteh mengikut kordinat geografi yang sama.
Dengan gambar tersebut, Singapura sekaligus membuktikan gambar yang diambil pihak Malaysia menggunakan lensa telefoto yang secara tidak langsung menjadikan latar belakang bukit dalam gambar itu menjadi lebih tinggi.
“Bagaimana mereka boleh melakukan sedemikian? Ini sangat memalukan.
"Apa yang lebih buruk adalah ia cuba menunjukkan pasukan kita seperti mahu mengelirukan hakim ICJ.
Hakim prejudis terhadap anda?
"Begitu juga dalam mahkamah domestik, taktik sebegitu akan membuatkan hakim prejudis terhadap anda. Apabila hakim dapat tahu anda mengelirukan hakim, anda akan diperhatikan dan keputusan selalunya tidak akan memihak kepada anda," katanya.
Karpal turut meragui peranan lima delegasi antarabangsa Malaysia dalam membantu barisan peguam Malaysia membekalkan dokumen dan bahan lain yang berkaitan.
"Sebagai rakyat asing mereka tidak perlu ragu-ragu untuk bekerjasama membantu menjalankan kajian.
"Dalam kes ini sudah tentu mereka mampu mengenal pasti taktik yang digunakan, jadi mereka tetap meneruskannya dan membahayakan reputasi mereka sendiri," katanya.
Karpal bagaimanapun berkata, harapan masih ada bagi Malaysia jika surat perjanjian daripada Gabenor Selat pada tahun 1844 yang memohon kebenaran Sultan dan Temenggong Johor untuk membina Rumah Api Horsburgh di Pulau Batu Puteh ditemui.
Ini kerana semasa pendengaran kes, Malaysia mendakwa Singapura memiliki surat itu dan cuba menyembunyikannya daripada Malaysia.
Singapura bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
"Surat itu pasti berada di satu tempat yang tidak diketahui. Jika benar Singapura memilikinya, mungkin sekarang ia telah dimusnahkan. Namun kita tidak boleh menuduh Singapura begitu sahaja tanpa sebarang bukti kukuh," katanya.
Karpal turut berkata jika surat itu ditemui, Malaysia mempunyai peluang tipis untuk mengemukakan permohonan menyemak semula kes di ICJ berdasarkan dua perkara penting.
"Pertama, bukti baru perlu menjadi asas untuk buka semula kes. Kemudian Malaysia perlu meyakinkan mahkamah bahawa bukti baru itu tidak terdapat semasa pendengaran kes terdahulu.
"Jika Malaysia dapat memenuhinya, mungkin ada peluang untuk semak semula kes," katanya.
Pada masa ini, Karpal merupakan peguam kepada salah seorang delegasi Malaysia yang mahu menulis buku bagi membidas ‘dakwaan-dakwaan’ yang terdapat dalam Pedra Branca.
Namun demikian Karpal merasa sangsi matlamat ini dapat dicapai memandangkan reputasi tinggi kedua-dua penulis buku terbabit.
"Koh adalah pensyarah saya semasa di Universiti Kebangsaan Singapura manakala Jayakumar adalah senior saya. Kedua-dua mereka merupakan tokoh akademik yang mempunyai kredibiliti dan dipandang tinggi. Tidak ada keraguan mengenai tulisan yang dihasilkan dalam Pedra Branca.
"Tanggungjawab kini terletak kepada pasukan Malaysia untuk mengemukakan objektif yang adil dan versi yang boleh diterima pakai, sekaligus mampu menjawab persoalan mengenai tindakan mereka selama ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan