| |
| |
KUANTAN - Hanya kerana dimarahi bapanya disebabkan memakai seluar jean ke sekolah, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun sanggup melarikan diri dari rumah.
Che Nanorgiha Che Naza, pelajar tingkatan tiga dari Sekolah Menengah Bukit Rangin dekat sini, berbuat demikian sejak lebih seminggu lalu.
Menurut bapanya, Che Naza Che Mud, 51, kejadian bermula apabila anaknya itu dilihat oleh ibunya tidak memakai pakaian seragam ke sekolah, pada hari kejadian.
Katanya, Nanorgiha sebaliknya hanya memakai baju kokurikulum berwarna hitam.
"Selang beberapa jam, Nanorgiha yang lebih mesra dipanggil 'kakak' menghubungi isteri saya dan meminta agar ibunya itu menghantarnya seluar... Ia kerana pihak sekolah menahannya kerana memakai seluar jean.
"Saya lalu menghantar seluar seperti diminta Nanorgiha ke sekolah dan kemudian telah menegurnya. Secara tidak sengaja saya telah bertindak kasar ke atasnya.
"Sebaik sahaja tamat sesi persekolahan, dia pulang ke rumah tetapi terus keluar semula dengan beg pakaiannya," katanya ketika datang ke pejabat Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambahnya, dia dan isterinya sering menegur Nanorgiha kerana jarang membantu ibunya melakukan kerja rumah selain malas mengulang kaji pelajaran.
Katanya, dia juga mendapati anaknya itu sering bercakap dan berbalas mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan seseorang di telefon bimbitnya.
Beliau berkata, dia dan isteri membuat laporan mengenai kehilangan Nanorgiha di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kuantan di sini, sehari selepas kejadian.
"Saya merayu supaya Nanorgiha agar pulang ke pangkuan keluarga. Saya minta maaf jika telah berkasar dengannya dan segala kesalahannya kami ampunkan," jelasnya.
Lebih menyedihkan tambahnya, isterinya kini sedang terlantar sakit di rumah dan hilang selera makan kerana terlalu memikirkan keselamatan anaknya itu.
"Saya telah cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi ditutup dan ini membuatkan kami sekeluarga bertambah risau kerana sehingga ke hari ini tiada sebarang berita tentang Nanorgiha," katanya.
Sehubungan itu beliau merayu kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang anaknya supaya menghubunginya di talian 012-9852807.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan