HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Oktober 2010

Ganti tanah RM465 juta dengan projek RM256 juta?


Tony Pua 1Di sekitar Dewan Rakyat

Oleh Rahmah Ghazali

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua menyoal kenapa kerajaan memindah milik tanah bernilai RM465 juta kepada seorang kontraktor untuk membina kompleks tentera di Skudai, Johor dengan separuh harganya 13 tahun lalu.

"Memindah milik tanah berharga RM465 juta dengan separuh harganya, walaupun kontraktor baru siap 20% dari projek itu…….ini meragukan," kata beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan di Dewan Rakyat semalam.

Menurut Pua, Kementerian Pertahanan menyerahkan projek itu kepada Kausar Corporation Sdn Bhd untuk membina Kompleks 7 Brigade pada harga RM256 juta pada Julai 1997 dan sebagai ganti (bayaran) syarikat itu diberi tanah bernilai RM465 juta.

Walaupun membuat perjanjian untuk membayar tunai, kementerian berkenaan memberi sebidang tanah kepada kontraktor itu sebagai ganti. Kementerian itu juga menyerahkan sebidang tanah lain di mana terdapat dua kem tentera sebagai ganti.

Pembinaan kompleks tentera itu bagaimanapun menimbulkan tanda tanya enam tahun lalu apabila Laporan Ketua Audit Negara 2003 menyebut kompleks itu hanya siap 18.3% dan tidak ada kemajuan dari segi kerja dalam laporan terbaru yang diedarkan baru-baru ini.

"Tapi projek itu masih lagi berjalan. Jika anda lihat kepada jawapan dari Kementerian Pertahanan, mereka masih lagi mengeluarkan surat amaran selewatnya pada 2008.

"Kini sudah 10 tahun sudah berlalu selepas kontrak itu ditandatangani dan lima tahun selepas projek itu tidak bergerak dari pembinaan setakat 18.3%," terang beliau.

Kontraktor cagar tanah itu kepada MBSB

Bagaimanapun, kontrak itu tidak ditamatkan dan tanah itu telah pun dipindah milik kepada Kausar Corporation, keluh Pua.

"Apa yang kontraktor buat dengan sebidang tanah itu? Dia bawa geran tanah itu kepada bank, Malaysia Building Society Bhd (MBSB) dan mengambil pinjaman berjumlah RM465 juta.

"Kenapa kerajaan memberi projek bernilai RM256 juta tapi membayarnya dengan sebidang tanah dengan harga sekurang-kurangnya RM465 juta……..hampir dua kali ganda dari saiz kontrak?" soal beliau.

Beliau berkata amalan biasa bank tidak akan mengeluarkan pinjaman untuk nilai penuh tanah itu yang mungkin bernilai lebih RM600 juta.

"Kedua, kenapa kontrak tidak ditamatkan? Kenapa tidak ada surat tuntutan dihantar kepada Kausar Corporation? Kenapa syarikat itu tidak disenaraihitamkan?," soal beliau lagi.

Pua juga mempertikai kegagalah kerajaan menyenaraihitamkan syarikat itu walaupun isu ini telah ditimbulkan dalam Parlimen sebelum ini.

Perdana Menteri Najib Tun Razak sebelum ini pernah mengelak dari menjawab soalan ini dengan menyatakan bahawa menyenaraihitamkan syarikat itu hanya langkah terakhir.

Beliau mendesak Najib memberi jawapan kenapa syarikat itu tidak disenaraihitamkan walaupun projek itu telah lama tergendala.

Tiada ulasan: