KUALA LUMPUR— Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Dewan Pemuda Masjid Malaysia (MAMY) agar melarang Sisters In Islam (SIS) daripada menggunakan nama dan pengenalannya itu pada badan bukan kerajaan berusia 17 tahun tersebut.
Mahkamah membenarkan permohonan SIS Forum (Malaysia) membatalkan saman pemula yang difailkan dewan itu awal tahun ini.
Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan itu di kamarnya dengan dihadiri peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili SIS Forum dan peguam Mohd Ibrahim Mohd yang mewakili MAMY.
Malik Imtiaz memberitahu pemberita bahawa Zabariah membenarkan permohonan pihaknya setelah mendengar hujah kedua-dua pihak dan berpendapat pihak plaintif tidak mempunyai “locus standi”.
Mohd Ibrahim pula berkata pihaknya akan memfailkan rayuan atas keputusan itu.
Awal tahun ini, MAMY mengemukakan permohonan terhadap SIS Forum bagi menuntut perisytiharan bahawa nama organisasi itu yang sah di sisi undang-undang bukanlah “Sisters In Islam”.
Pengarah Eksekutif dewan berkenaan, Mohd Taqiuddin Abdullah memfailkan saman itu selaku pemohon dengan menamakan SIS Forum selaku responden.
Dalam saman pemula itu, beliau memohon mahkamah mengeluarkan perintah bahawa SIS Forum tidak dibenarkan atau dilarang daripada menggunakan nama SIS sebagai nama dan pengenalan.
Larangan itu juga termasuk menunjukkan identiti responden dalam mana-mana risalah, surat menyurat, penerbitan atau kenyataan responden sama ada di Internet, media cetak dan elektronik sehingga ia dibenarkan di sisi undang-undang.
Selain itu, MAMY juga memohon mahkamah memaksa responden mengeluarkan nama SIS daripada papan tanda laman web responden, bahan-bahan cetak dan penerbitan responden.
Mereka juga menuntut agar responden dihalang daripada mengedarkan bahan-bahan terbitan, cetakan dan siaran menggunakan nama berkenaan sehingga dibenarkan secara sah di sisi undang-undang.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, SIS berkata puhaknya menyambut baik keputusan mahkamah membatalkan permohonan MAMY.
“Keputusan Hakim Datin Zabariah adalah positif ke arah memastikan kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dipertahankan,” kata SIS dalam kenyataannya.
SIS diserahkan notis saman pada 6 April lalu.
Kata pertubuhan itu, SIS berpendirian tegas bahawa MAMY tiada hak di sisi undang-undang untuk membuat permohonan seumpama itu.
“SIS juga mendapati dakwaan MAMY terhadap SIS tidak berasas dan ia satu penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya lagi.
Katanya, sejak ditubuhkan 17 tahun lalu SIS tidak dimaklumkan telah mengakibatkan kemudaratan ke atas kepentingan awam sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa sebagaimana didakwa oleh MAMY.
“Kami percaya bahawa keputusan hari ini dengan jelas menunjukkan sebarang pertikaian atau perbezaan pandangan harus diselesaikan menerusi dialog madani atau rasional daripada tindakan menakut-nakutkan seperti membuat laporan polis dan tindakan mahkamah,” kata SIS dalam kenyataannya.
SIS juga berkata aktiviti mereka adalah berdasarkan kepercayaan kukuh dalam Islam sebagai sumber keadilan dan kesaksamaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan