HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Oktober 2010

Umno BN tidak yakin media arus perdana

Mohd Nor Yahya

GUA MUSANG: Keresahan Umno BN untuk mendapat sokongan pengundi di Dun Galas semakin terserlah apabila mereka terpaksa mengeluarkan sendiri bahan cetak SUARA GALAS pada hari penamaan calon untuk dijadikan bahan kempen.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, sedangkan dalam masa yang sama, mereka telahpun mempunyai pelbagai saluran media cetak dan elektronik.

Ketika ditemui mengulas perkara tersebut, katanya penyebaran risalah empat muka yang diterbitkan oleh Badan Perhubungan Umno negeri itu jelas menggambarkan mereka tidak lagi menaruh keyakinan akhbar arus perdana milik mereka untuk menawan hati pengundi di Dun Galas.

Beliau berkata, perbuatan tersebut seolah-olah meniru langkah PAS yang telah mengeluarkan GALAS KITO pada edaran pertama sehari sebelum penamaan calon.

“PAS telah mengambil langkah proaktif dalam penyebaran maklumat kepada pengundi kerana kita sedar sebaran media terhadap pelbagai aktiviti kita amat terhad, kita hanya ada Harakah, dikeluarkan dua kali seminggu sahaja,” ujar beliau.

Sementara itu, Yamin Hamid, 35, dari Kampung Lembaga, Sungai Terah berkata, Umno BN yang menyebarkan risalah tersebut kerana mereka sedar akhbar arus perdana tidak mendapat sambutan di Gua Musang.

"Kalau dah orang umno-BN sendiri pun tak yakin dengan akhbar harian mereka, tak kanlah kita di Gua Musang ini pula nak percaya berita yang disebarkan oleh akhbar tersebut.

Bagi Nurul Hidayah Ahmad, 27, Batu Papan pula berkata, semasa berada di tempat pernamaan calon turut mendapat senaskah akhbar harian secara percuma.

“Nampak sangat pihak Umno BN ini terdesak untuk menyebarkan maklumat palsu mereka, sehinggakan sanggup mengedar akhbar secara percuma pada hari tersebut,” katanya lagi.

Tiada ulasan: