HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Oktober 2010

KEADILAN Bidas BN Tidak Sensitif Pilih Balu Sedang Berkabung Sebagai Calon

Oleh Dzulkarnain Taib

IMG_3527SANDAKAN - Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat Pusat, Fuziah Salleh menggesa pengundi Batu Sapi supaya tidak memilih calon Barisan Nasional, Datin Tsen Thau Lin atas dasar keprihatinan mereka terhadap beliau yang baru sahaja kehilangan suami dan kini dibebani oleh tanggunjawab besar dan berat yang tidak mungkin dipikul sebagai ibu tunggal.

Pada masa yang sama Fuziah membidas pimpinan BN yang dilihat sama sekali tidak sensitif terhadap tanggungan emosi yang kini dihadapi oleh Thau Lin serta keluarga yang masih dalam keadaan berkabung tetapi dipaksa menggalas beban dalam pertandingan politik yang sengit tanpa mengira perasaan beliau.

"Saya sebagai ahli parlimen wanita saya amat faham tekanan yang dihadapi apatah lagi wanita yang baru sahaja kehilangan suami dan masih berkabung. Tanggungjawab menjaga rakyat Batu Sapi adalah tugas parti dan bukannya diletakkan di atas bahu seorang balu. Sebagai seorang balu saya benar-benar kasihan kepada beliau, sudahlah terpaksa memikirkan bagaimana menjaga dirinya tanpa suami, perlu juga menjaga emosi anak-anak yang terpaksa meneriman tragedi kehilangan seorang ayah secara mengejut.

"Keluarga mereka masih mengalami trauma dan parti amat tidak sensitif. Mungkin beliau boleh dapat undi simpati tetapi kalau rakyat Batu Sapi bersimpati kepada beliau, jangan pilih beliau ke Parlimen kerana bukan sahaja beliau tidak fasih bertutur dalam Bahasa Malaysia tetapi yang lebih penting beliau tidak sepatutnya dibebani oleh tanggungjawab sebagai wakil rakyat," kata Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan pada sidang media di Bilik Gerakan Utama KEADILAN pagi tadi.

Tiada ulasan: