HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Oktober 2010

Kemenangan Galas perkukuhkan kerajaan Islam

BULETIN ONLINE

GUA MUSANG: PAS menyifatkan kemenangan parti itu dalam pilihan raya kecil N45 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas 4 November depan penting bagi memperkuatkan kerajaan Islam Kelantan.


Meski pun, jika kekalahan PAS mempertahankan kerusi tersebut tidaklah menjatuhkan kerajaan tetapi kemenangannya memperkuatkan kerajaan PAS Kelantan.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Gerak Kerja Jentera Pilihan Raya Kecil PAS Terengganu di Surau Kampung Tanjung Keriting, Galas, 26 Oktober lalu.

Katanya, kerajaan Islam Kelantan yang diterajui oleh PAS wajar dipertahankan setelah berjaya dibina sejak 20 tahun lalu.

“Pentingnya pilihan raya (Dun Galas) ini kerana untuk menguatkan lagi kerajaan Islam yang telah kita (PAS) bina selama 20 tahun di Kelantan.

“Walau pun (jika) kalah satu kerusi (Galas) ini tidak jatuh lagi kerajaan tetapi dengan menangnya satu kerusi ini menguatkan kerajaan kita (PAS),” tegasnya.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab kepada PAS untuk menyelamatkan manusia dengan Islam.

Oleh itu, katanya selagi ada cara yang damai dengan memujuk serta boleh berkempen dengan baik Islam hendaklah memilih cara tersebut.

“Ini (memerintah) menjadi kita (PAS) untuk menyelamatkan manusia dengan Islam. Selagi ada cara damai, dengan cara memujuk, boleh berkempen dengan baik. Islam hendaklah memilih cara baik,” ujarnya.

Menurutnya, PAS menyertai pilihan raya adalah bagi menegakkan Syariat Islam melalui sokongan rakyat yang ramai.

Katanya, amalan demokrasi yang diperkenalkan oleh barat membolehkan mana-mana parti berkempen dan memujuk hingga menubuhkan kerajaan.

Sebab itu, kata Ustaz Abdul Hadi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyertai pilihan raya kerana dibenarkan dalam feqah Islam.

Hadir sama pada majlis tersebut Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohamad, Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Setiausaha PAS Terengganu, Yahya Ali, Bendahari PAS Terengganu, Haji Muhyidin Abdul Rashid, Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman dan Ketua Muslimat PAS Terengganu, Safinah Jusoh.

Tiada ulasan: