HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Oktober 2010

Galas titik mula tawan Kelantan jika menang, kata calon BN



Calon Barisan Nasional Abdul Aziz Yusoff mahu sokongan diberikan kepada beliau ketika hari pengundian nanti. — Gambar oleh Choo Choy May

GUA MUSANG - Ketika pentadbiran kerajaan negeri pimpinan PAS genap dua dekad bulan ini, calon Barisan Nasional (BN) Abdul Aziz Yusoff berkata, beliau sudah tidak sabar menunggu 4 November untuk merampas balik kerusi DUN Galas.

Katanya, ia penting untuk membuka laluan kepada usaha merampas Kelantan daripada PAS.

“Saya sudah tidak sabar untuk menunggu 4 November ini dan menawan DUN Galas daripada PAS,” kata beliau ketika berucap pada program ramah mesra bersama masyarakat Tionghoa di Kampung Baru Gua Musang di sini malam tadi.

PAS menawan pentadbiran Kelantan pada pilihan raya umum kelapan yang diadakan 20 dan 21 Oktober 1990.

Abdul Aziz, Setiausaha Umno Gua Musang berkata, kemenangan beliau dalam pilihan raya kecil DUN Galas akan menjadi titik permulaan untuk BN merampas semula Kelantan yang diperintah oleh PAS selama 20 tahun.

“Kemenangan BN di Galas adalah penting kerana rakyat seluruh negara melihatnya dan membayangkan bagaimana sokongan pengundi kepada Perdana Menteri.

“Sekiranya rakyat sokong BN dan rampas kembali DUN Galas sudah tentu ia menunjukkan pengundi di sini menerima konsep 1 Malaysia yang digambarkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak).

“Saya percaya sekiranya BN menang ia akan menjadi satu ombak yang akan bergerak ke seluruh Kelantan dan pada pilihan raya umum ke-13 nanti sudah pasti kita akan dapat tawan semula Kelantan,” katanya yang ditemui selepas program tersebut.

Kira-kira 150 masyarakat Tionghoa menghadiri program ramah mesra itu.

Menurut Abdul Aziz, beliau tidak boleh menjanjikan “segunung intan” sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat, tetapi berjanji akan memberikan khidmat terbaik kepada pengundi di DUN Galas.

“Saya ingin nyatakan sekiranya saya dipilih oleh pengundi saya akan jadi wakil rakyat untuk semua kaum,” katanya.

Abdul Aziz berdepan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad, pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang dalam pilihan raya kecil DUN Galas.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyadangnya dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 September lepas akibat barah.

Seramai 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil kali ini iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.

Kini Pakatan Rakyat bersama PAS dan PKR menguasai 39 kerusi di DUN manakala BN pula enam.

Tiada ulasan: