HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Oktober 2010

Penyokong didakwa bakar bendera parti lawan

SINAR HARIAN ONLINE


GUA MUSANG - Seorang penyokong pembangkang daripada luar Kelantan didakwa membakar bendera Barisan Nasional (BN) bagi menimbulkan provokasi pada kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, malam semalam.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bekata, kejadian itu berlaku di Kampung Ledang di sini dengan niat menimbulkan ketegangan antara penyokong parti itu dengan jentera pilihan raya BN.

Beliau percaya perbuatan tersebut dilakukan oleh penyokong dari luar kerana sepanjang kempen dijalankan, hubungan mesra terjalin antara kedua-dua jentera parti walaupun berlainan ideologi politik.

“Perkara ini dapat dilihat apabila mereka boleh duduk semeja di kedai kopi bersembang seperti tiada perbalahan. Hanya dua hari lalu perubahan ini berlaku, apabila sekumpulan penyokong dipercayai dari luar Gua Musang tiba ke kawasan ini dan mula bertindak `nakal’ dengan cuba menimbulkan suasana tegang,” katanya selepas bertemu kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan orang ramai di Stesen KTMB di Gua Musang.

Khairy berkata, beliau meminta Ketua Pemuda Pas, Nasarudin Hassan untuk menasihatkan ahli mereka agar tidak bertindak sedemikian kerana hanya akan menggugat keharmonian penduduk di kawasan itu.

”Jika Pemuda UMNO boleh mengawal diri kenapa Pas tidak boleh sedemikian, bahkan diingatkan suasana di sini tidak sama di tempat lain.

”Saya berharap agar pasukan keselamatan dan Ketua Pemuda Pas dapat memantau perbuatan sebegini agar tidak berulang kembali, jangan sampai ia menjadi keruh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahari Abdullah berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kempen dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, sejak Selasa lalu.

Menurutnya, petugas jentera parti yang bertanding dalam pilihan raya itu menjalankan tugas mereka dengan berhemah tanpa kejadian yang tidak diingini.

”Kami berharap perkara ini berterusan sehingga hari mengundi pada 4 November nanti dan menjadi kempen terbersih serta hormat menghormati antara satu sama lain dalam pilihan raya kali ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, polis akan menempatkan pegawai dan anggota secukupnya dan sentiasa memantau semua perjalanan kempen, ini termasuk perbuatan yang boleh menimbulkan kekecohan.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasruddin Hassan pula tidak menolak kemungkinan tindakan itu dilakukan pihak tertentu dengan tujuan untuk mensabotaj parti itu.

Katanya, beliau tidak pernah mengarahkan ahli-ahlinya daripada melakukan sesuatu tindakan yang tidak beretika sehingga menimbulkan menimbulkan ketidakselesaan kepada pengundi Galas.

“Saya masih mendapat maklumat mengenai perkara ini, namun saya bimbang jika ia dirancang untuk sabotaj dan provokasi untuk mencetuskan keadaan tegang.

“Saya mahu perkara ini jelas dan saya tidak mahu mengambil tindakan dan mengeluarkan kenyataan sebelum mengetahui apa yang berlaku; masih di peringkat awal,” katanya.

Tiada ulasan: