HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Oktober 2010

Kenyataan Johari tidak sesuai dengan 1Malaysia


Picture 064Oleh Muda Mohd Noor

PETALING JAYA: Kenyataan pemangku Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani bahawa parti itu tidak memerlukan undi kaum Cina dan India jika mendapat 70 peratus pengundi Melayu untuk menang kerusi Parlimen Titiwangsa tidak selaras dengan konsep 1Malaysia dan semangat Barisan Nasional (BN) sendiri.

Ketua Umno Bahagian Kepong Datuk Rizuan Abdul Hamid berkata, "walaupun di Titiwangsa majoriti pengundi adalah orang Melayu tetapi penentu kemenangan ialah pengundi Cina dan India."

"Johari tidak patut membuat ucapan sedemikan tetapi ia merupakan pandangan peribadi beliau sahaja. Ia tidak menggambarkan pandangan keseluruhan pemimpin Umno," katanya.

Ridzuan berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Johari dalam mesyuarat tertutup Umno Titiwangsa seperti yang tersiar di You Tube.

Bagaimanapun, Rizuan meminta pimpinan tinggi Umno bertindak segera menyelesaikan perkara tersebut.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek meminta Ketua Umno Titiwangsa itu bersara dari politik.

Jejas sokongan pengundi Cina, India

po_01_bigSementara itu, Ketua Umno Bandar Tun Razak, Datuk Amil Salleh (kanan) pula berkata, kenyataan Johari boleh menjejaskan sokongan pengundi kaum Cina dan India kepada BN.

Menurutnya, ini bermakna di kawasan yang mempunyai pengundi bukan Melayu sekitar 20 hingga 30 peratus, BN sukar untuk menang.

"Kita kena ingat bukan semua pengundi Melayu mengundi BN atau Umno kerana undi Melayu telah berpecah kepada tiga iaitu Umno, PAS dan PKR.

"Dia (Johari) tidak boleh memikirkan kepentingan kawasannya sahaja tetapi kawasan-kawasan lain juga harus beliau ingat," katanya.

Sehubungan itu, Amil berkata, bagi mengatasi masalah itu, pemimpin Umno perlu membuat penjelasan terhadap kenyataan Johari itu.

Mereka katanya, perlu menjelaskan bahawa kenyataan tersebut merupakan kenyataan peribadi.

FMT gagal menghubungi Johari dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor untuk mendapatkan penjelasan isu tersebut.

Tiada ulasan: