HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Oktober 2010

Shah Alam buka pentas 'kempen' PKR

MALAYSIA KINI


PKR Cabang Shah Alam akan menganjurkan program "Pentas Perdana" bagi membuka ruang kepada calon-calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu 'berkempen' bagi menyuarakan visi dan misi masing-masing.

Ketua penerangannya Mohamed Hafez Matsoom berkata, program itu akan diadakan pada 12 November depan, pukul 9 malam di Dewan Banquet, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

"Saya menjangkakan lebih 30 calon MPP akan menghadiri dan berucap di Pentas Perdana yang disediakan. Kita juga akan berusaha menggerakkan ahlinya yang melebihi 6,000 anggota ke majlis tersebut.

"Justeru, saya juga menyeru calon untuk menggunakan ruang Pentas Perdana ini dengan sebaiknya sebagai menyambut hasrat murni ahli dan rakyat," ujar beliau dalam satu kenyataan.

Menurut Mohamed Hafez, setakat ini, sudah terdapat calon naib presiden yang berminat turut serta dalam program itu.

Dipercayai, program itu yang pertama dianjurkan sepanjang bahang pemilihan PKR bermula sejak sebulan lalu.

Sebelum ini, sayap Pemudanya (AMK) pernah menyaksikan debat antara calon ketua diadakan di Taiping.

Seramai 400,000 ahli layak mengundi dalam pemilihan pucuk pimpinan PKR yang akan bermula hari ini sehingga 21 November depan.

Mereka akan memilih timbalan presiden, empat naib presiden dan 20 anggota MPP.

Tiada ulasan: