HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Oktober 2010

Isu Orang Asli: Calon BN kata PAS tertekan, sanggup tuduh Ku Li khianat



Calon Barisan Nasional Abdul Aziz Yusoff bersalaman dengan masyarakat Tiong Hua ketika program ramah mesra di Kampung Baru Gua Musang. — Gambar oleh Choo Choy May

GUA MUSANG — Calon Barisan Nasional (BN) Abdul Aziz Yusoff mempertahankan Tengku Razaleigh Hamzah sambil menyifatkan PAS tertekan sehingga sanggup menyerang Ahli Parlimen Gua Musang itu secara peribadi dengan mendakwa beliau mengkhianati parti itu apabila kembali ke pangkuan Umno selepas membubarkan Semangat 46.

Justeru Abdul Aziz yang juga Setiausaha Umno Gua Musang berkata, permasalahan yang melibatkan Orang Asli di Gua Musang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini bukannya ketika Tengku Razaleigh bersama Semangat 46.

“Saya rasa tidak timbul soal khianat sebab dalam soal pengambilan tanah ini ia berlaku pada masa sekarang bukan semasa Tengku Razaleigh berada dalam (Semangat 46).

“Pengambilan tanah ini berlaku sejak akhir-akhir ini semasa Tengku Razaleigh sudah masuk Umno. Jadi Tengku Razaleigh, saya rasa tidak terlibat dalam perkara itu,” kata beliau ketika ditemui selepas program ramah mesra bersama masyarakat Tionghoa di Kampung Baru Gua Musang di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang mendakwa Tengku Razaleigh mengkhianati parti Islam itu apabila memasuki Umno dan menyebabkan hubungan antara PAS dan masyarakat orang Asli di Gua Musang terputus.

Wan Abdul Rahim berkata Tengku Razaleigh adalah punca utama permasalahan orang Asli tidak dapat diselesaikan.

“Dulu di Kelantan, kita banyak bergantung kepada Ku Li (Tengku Razaleigh) dan Semangat 46 untuk semua permasalahan Orang Asli di Gua Musang. Kita setuju beri kepada untuk bertanding dan serah segala urusan Orang Asli kepada beliau.

“Tapi apabila Ku Li hancurkan Semangat 46 dan masuk kembali kepada Umno, kita tiada fail berkaitan Orang Asli dan kita tidak tahu macam mana nak mulakan semula.

“Jadi ia adalah satu pengkhianatan yang Ku Li dan Semangat 46 buat terhadap kita, beliau bubarkan Semangat 46 dan masuk Umno,” katanya.

Pada pilihan raya umum 1990, Semangat 46 bekerjasama dengan PAS, sekali gus membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri BN ke tangan pakatan PAS-Semangat 46.

Kerjasama itu berulang lima tahun kemudian tetapi Semangat 46 dibubarkan pada 1996.

Abdul Aziz berkata, tindakan PAS membuat dakwaan tersebut soalah-olah membuktikan parti Islam itu mula tertekan.

“Mungkin PAS tertekan kerana lihat ramai pengundi yang sokong BN sekarang ini.

“Sebab itu dia beri serangan peribadi kepada Tengku Razaleigh selaku Pengarah Pilihan Raya BN.

“Dulu masa Semangat 46 bersama PAS perkara ini tidak terjadi, ia cuma berlaku sejak kebelakangan ini,” katanya.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyadangnya dari PAS, Che Hashim Sulaima.

Kerusi DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu di mana BN meletakkan Abdul Aziz manakala PAS menurunkan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad.

Tiada ulasan: