HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Oktober 2010

MACC: Kedududukan CPI negara boleh diperbaiki masa depan

BERNAMA


Abu Kassim berkata CPI hanya satu indeks persepsi. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) dijangka lebih baik pada masa hadapan kerana usaha memerangi rasuah pada tahun ini tidak diambil kira, kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abu Kassim Mohamed.

Beliau berkata keputusan CPI, yang mengekalkan Malaysia pada tangga ke-56 daripada 178 negara dalam CPI 2010, diperolehi berdasarkan kumpulan data yang dibuat pada dua tahun lepas.

“Sehubungan itu usaha pada tahun ini takkan nampak pada nilai indeks pada tahun ini. Jadi kalau nak nilai sama ada berkesan atau tidak pada tahun ini, kita kena tengoklah pada tahun depan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas pencapaian Malaysia dalam CPI 2010.

Abu Kassim, yang sebelum itu menutup program “Senior Executive Certificate Course for Strategic Management of Anti-Corruption Programme” di sini, berkata semua pihak termasuk masyarakat perlu membantu mengubah persepsi masyarakat.

“Paling penting CPI ini ialah satu indikator. Mahu tak mahu kita kena terima. Yang paling penting selain indikator, adakah masyarakat merasai usaha-usaha kerajaan itu.

“Adakah masyarakat merasai bahawa masalah rasuah sudah berkurang. Itu yang penting. Jadi usaha-usaha perlu dibuat mestilah jelas, yang dapat mengurangkan rasuah, serta dirasai oleh masyarakat terdapat pengurangan rasuah,” katanya.

Abu Kassim berkata CPI hanyalah satu indeks persepsi dan ia berbeza dengan penilaian yang dilaksanakan oleh agensi-agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Ini kerana PBB memberi penilaian ke atas usaha-usaha yang dibuat kerajaan Malaysia dan berdasarkan realiti, bukan berdasarkan persepsi (seperti CPI),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abu Kassim berkata PBB memberi pengiktirafan kepada Malaysia untuk menganjurkan pelbagai kursus mengenai pencegahan rasuah kepada negara-negara rantau Asia Pasifik kerana pertubuhan itu yakin dengan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan Malaysia dalam memerangi rasuah.

“Tahun depan kita sedang merangka untuk mengadakan kursus dengan negara-negara daripada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Ini merupakan satu pengiktirafan yang besar oleh PBB kepada kita,” katanya.

Tiada ulasan: