HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Oktober 2010

Isu muflis: Adun Kuala Nerang nak saman Malaysian Insider


syedspotOleh Staf FMT

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang Syed Sobri Syed Hashim akan memfailkan saman malu terhadap portal berita The Malaysian Insider (TMI) dalam masa terdekat berhubung laporan yang mengatakan beliau berdepan tindakan ‘muflis’.

Beliau yang dihubungi FMT menyifatkan laporan TMI itu sebagai tidak bertanggungjawab dan mencalarkan imej beliau sebagai seorang wakil rakyat.

Malah katanya, masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian atau kesimpulan memandangkan mahkamah masih belum membuat sebarang keputusan.

"Pada pendapat saya, mereka telah melangkaui (subjudice) keputusan mahkamah sedangkan kes ini masih belum selesai. Proses mahkamah masih lagi berjalan namun mereka sudah membuat kesimpulan.

"Mereka juga tidak bertanggungjawab apabila melaporkan saya berhutang RM700,000 sedangkan saya hanya berhutang RM150,000. Saya juga sudah membayar sejumlah RM50,000.

"Esok (hari ini) saya akan turun ke Kuala Lumpur untuk berbincang lebih lanjut dengan peguam berhubung hal ini. Saya akan failkan saman malu terhadap portal berita itu," katanya yang juga Naib Ketua Umno Padang Terap semalam.

Namun Syed Sobri enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai jumlah saman yang akan dikenakan ke atas portal berita itu.

Pada 20 Oktober lalu TMI melaporkan Syed Sobri diisytihar muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas syarikatnya gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM700,000.

Memetik laporan TMI, kegagalan Syed Sobri membayar caruman itu juga bakal membuka ruang kepada pilihan raya kecil Dun berkenaan.

Tiada ulasan: