HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Oktober 2010

Pesakit macam bola, akhirnya mati atas katil

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pendang, Datuk Dr Hayati Othman (gambar) meminta kerajaan memberikan perhatian yang serius kepada tabung bantuan perubatan yang sepatutnya memberi kemudahan kepada rakyat yang tidak berkemampuan.

"Kerajaan perlu memberi perhatian kepada tabung ini, kadang-kadang pesakit yang memerlukan bantuan kewangan ni macam bola ditendang ke sana ke mari untuk mendapatkan bantuan ini.

"Saya pernah menghadapi pesakit-pesakit yang datang ke hospital, hospital suruh pergi ke pejabat kebajikan. Pejabat kebajikan suruh pergi ke JKK, JKK suruh pergi kepada penghulu, akhirnya anak mati atas katil, tidak dapat lakukan pembedahan kerana tidak dapat menyediakan kos rawatan," katanya.

Beliau meminta kerajaan turut memansuhkan duti import alat-alat perubatan yang lebih diperlukan rakyat, selain barangan pelancongan.

Dr Hayati ketika membahaskan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini berkata, alat-alat yang digunakan untuk melakukan rawatan atau pembedahan terhadap pesakit lebih perlu dimansuhkan duti importnya berbanding 300 barangan pelancongan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Sepatutnya 300 barang ini masukkanlah barang-barang perubatan untuk kemudahan rakyat. Kenapa hanya nak mansuhkan duti import kepada barangan pelancong sahaja. Takkanlah pelancong datang Malaysia nak beli beg tangan, seluar dalam, selimut, kelambu," katanya.

Beliau turut mempersoal kos rawatan di Institut Jantung Negara yang didakwa sangat tinggi.

"Apakah salahnya tabung bantuan perubatan ini dimudahkan untuk rakyat yang tidak berkemampuan untuk mendapat rawatan terutama sekali rawatan melibatkan pembedahan jantung di IJN yang memerlukan kos yang tinggi.

"Kenapakah kosnya begitu tinggi sekali. Adakah kerana wujudnya pusat-pusat perubatan swasta yang nak merawat orang luar yang datang?

“Itu hak mereka tapi pihak IJN mestilah memberikan lebih perhatian kepada rakyat yang mempunyai masalah kewangan ini," katanya.

Turut diutarakan beliau mengenai kekurangan katil di hospital untuk memberikan rawatan kepada pesakit jantung di Utara.

"Saya mendengar keluhan daripada pakar-pakar di sana, kita tidak mempunyai banyak katil di hospital sebelah utara untuk nak merawat pesakit jantung. Diharap pusat rawatan jantung di Hospital Sultanah Bahiyah disegerakan untuk kemudahan rakyat di sana," katanya. 

Tiada ulasan: