Kota Makkah dan Madinah semakin padat dikunjungi oleh jemaah haji yang datang dari pelbagai belahan dunia di mana hanya tinggal beberapa hari saja lagi umat Islam akan menyambut Edul-Adha, hari raya korban.
Dua kota suci itu yang semakin moden dan canggih, dengan bangunan pencakar langit merecup tumbuh, menewaskan begitu banyak bangunan lama yang diruntuhkan untuk digantikan dengan bangunan baru – hotel, pusat membeli belah dan segalanya.
Dua kota suci ini sedang mengalu-ngalukan jemaah haji yang sedang berdatangan. Di malam hari ada yang tertegun melihatkan gemerlapan di dua kota suci ini. Wajah-wajah riang walaupun penat berbondong-bondong menuju ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi untuk memulakan ibadah di dua kota suci ini.
Jamaah akan berhimpun di Arafah untuk wukuf, puncak dari ibadah haji dan sekali lagi Jebal Rahmah menjadi pusat perhatian di Arafah itu. Di sanalah, 1,400 tahun yang lalu, Rasulullah s.a.w. menyampaikan pesan dalam khutbah terakhirnya supaya umat berpegang teguh kepada Al-Quran dan Sunnahnya serta mengukuhkan perpaduan atas nama Islam.
Di jangka tiga juta umat Islam akan berhimpun di dua Tanah Suci itu di mana setiap tahun jumlahnya bertambah dan terus bertambah. Pemandangan di Arafah adalah manifestasi patuhnya umat Islam beribadah, mengesakan Allah s.w.t. Ibadah haji sepatutnya menjadi flatform umat untuk memperlihatkan kekuatan dan kehebatan mereka, sebagai gerakan ummah dan menghantar mesej bahawa umat Islam sentiasa bersedia menghadapi tentangan dan apa juga cabaran, justru ia adalah umat yang satu.
Namun di tangan kebanyakan umat Islam masa kini, ibadah haji ini kelihatannya lebih bersifat ritual, ibadah yang sangat peribadi – tidak bersifat gerakan ummah, justru walaupun jumlah mereka jutaan banyaknya, namun tidak memancarkan kekuatan dan kehebatan mereka, malah tidak digeruni musuhpun.
Ini menimbulkan persoalan, walaupun jumlah umat Islam bertambah dan terus bertambah, manum dari segi mutunya adalah rendah dan ini sudahpun digamnbarkan oleh Rasulullah s.a.w. lebih 1,400 tahun lalu bahawa “ suatu masa nanti jumlah umat Islam begitu banyak, tetapi mereka 'seperti bueh' yang tidak memberi makna apa-apa.”
Ini keluhan Nabi s.a.w. ribuan tahun yang lalu justru Nabi s.a.w, sudah dapat menjangkakan masa depan umat ini.
Kini Makkah dan Madinah padat dengan umat yang meneriakkan 'LabbaikaLlahhu -Labbaik ....” (Aku datang, aku datang, aku tidak mensyirikkan Engkau ... ). Namun apakah makna seruan ini dan sudahkan benar-benar terisikan maknanya ini.
Sekali lagi mutu ummah jadi persoalan. Negara-negara Arab, terutama yang kaya dengan minyak, sedang bermegah dengan kekayaan mereka. Kota-kota yang amat mewah sudah dan sedang dibina, hotel mewah berbilion ringgit, pusat membeli belah, pusat hiburan dan segalanya sedang bercambah. Bangsa Arab dulunya miskin mendiami gurun pasir dan berpindah randah, diselamatkan oleh Islam di bawah pimpinan Nabi s.a.w.
Namun kontras kehidupan antara rakyat negara Arab yang miskin – Mesir, Sudan, Iraq, Palestin dan beberapa lagi – dengan negara Arab yang kaya begitu ketara sekali. Golongan Arab yang kaya berlagak dengan kehidupan mewah mereka. Di Makkah dan Madinah, mereka menyewa hotel mewah, berdekatan masjid, berbelanja tanpa batas, sementara jamaah miskin tinggal jauh dari pusat bandar, mendaki beratus-ratus anak tangga untuk menuju ke tempat tinggal mereka.
Belum lagi derita rakyat Palestin yang tidak terkirakan, menghadapi ancaman rejim Zionis yang sentiasa menekan kehidupan mereka. Adakah sheikh sheikh Arab yang kaya ini memikirkan nasib rakyat sebangsa dan seagama dengan mereka?
Kata-kata demi kata-kata mengenai perpaduan ummah diucapkan oleh pemimpin dunia Islam. Namun bagaimana dengan realiti ummah yang ada. Umat Islam di Pakistan dan Iraq bertempur sesama sendiri, Sunni dan Syiah saling membakar masjid dan bangunan, tidak habis-habisnya.
Menunggu datangnya Imam Mahdi El-Muntazar untuk menolong umat Islam?
Ini pandangan yang lucu dan menghairankan. Sedangkan Al-Quran dan Sunnah sudah berada di tengah umat sekarang. Di Masjidil-Haram dan Masjid Nabawi terus menerus bergema ayat-ayat Al-Quran. Persoalannya di sini, mengapa tinggalan Rasul s.a.w. yang agung itu hanya dihafal dan dilagukan saja, tidak dijadikan panduan kehidupan umat supaya mampu menghadapi cabaran.
Kini kemeriahan musim haji sudahpun bermula dan hampir pada puncaknya. Setelah wukuf di Arafah, melontar jamrah di Mina, jamaah haji kemudian mengerjakan tawaf dan saie dan seterusnya bertahallol. Selesailah pekerjaan haji dari segi wajib dan rukunnya, tetapi tanggungjawab jamaah haji terhadap ummah belum selesai.
Seperti biasa, beberapa hari selepas itu, jamaah haji pun pulang ke tanah air masing-masing. Dua kota suci itu dibersihkan untuk seterusnya menerima kedatangan jamaah umrah kira-kira sebulan kemudian. Begitulah seterusnya setiap tahun. Namun bagaimana kesan ibadah haji terhadap persoalan ummah?
Sedihnya kedudukan umat Islam begitu juga. Palestin terus menerus menjadi lembah air mata bagi rakyatnya, kecamuk pertentangan masih membara di Iraq, Pakistan dan Afghanistan. Umat Islam di Afrika, malah di negara rantau ini, masih dibelit kemiskinan.
Kemiskinan masih menjadi warisan umat sejak ratusan tahun, demikian juga sengketa yang tidak habis-habisnya di kalangan umat sendiri. Dalam keadaan begini bagaimanakah mutu umat hendak ditingkatkan, pada ketika yang sama umat ketiadaan pemimpin yang benar-benar berwibawa, yang boleh menyatukan ummah. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan