HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Oktober 2010

Umno-BN akan buat apa sahaja untuk menang - PAS

GUA MUSANG - Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mendakwa Umno-BN sanggup melakukan apa sahaja bagi merampas kembali Dun Galas yang dimenangi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Kenyataan demikian dibuat pada satu sidang media di Markaz Besar PAS pagi tadi.

Ujarnya, Umno-BN akan menggunakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengeluarkan kad pengenalan dan melaburkan wang kepada pengundi-pengundi supaya menyokong mereka.

"Jika terpaksa buat untuk mendapatkan sokongan, Umno-BN akan tawarkan sogokan kepada pengundi-pengundi di sini.

"Malah saya percaya Umno-BN akan menghantar petugas-petugas mereka untuk menyamar sebagai pengundi ketika hari pengundian nanti (4 November).

"Ini memang amalan tradisi Umno-BN, bila terpaksa mereka akan beli undi untuk menang," tegasnya kepada pemberita.

Wan Abdul Rahim yang juga ahli parlimen Kota Bharu menggesa agar pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik bagi mengelak wujudnya penipuan dan penyamaran semasa hari pengundian nanti.

Sementara itu, beliau turut menolak dakwaan wujudnya 'perjanjian' antara PAS dengan Pengarah Jentera Pilihan Raya BN, Tengku Razaleigh Hamzah dalam isu royalti minyak.

Ia ekoran terdapat desas-desus yang menyatakan agar isu tersebut tidak dibangkitkan pada kempen pilihan raya kecil ini.

"Tiada sebarang perjanjian pun," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai isu royalti minyak yang tidak dibangkitkan pada pilihan raya ini beliau berkata ia berbuat demikian dengan menggunakan penceramah yang berkebolehan.

"Kita akan bangkitkan (royalti minyak) tapi sekarang kita tidak mempunyai penceramah yang berkebolehan seperti Dato' Husam Musa (Exco Kerajaan Negeri Kelantan) dan Salahuddin Ayub (Naib Presiden PAS).

"Bukan semua orang PAS boleh cakap isu ini, royalti minyak kalau nak bercakap perlu ada fakta dan pengetahuan yang tinggi, baru boleh cakap," ujarnya.

Tiada ulasan: