PERHIMPUNAN Agung Umno yang baru berlangsung minggu lepas, boleh disifatkan perhimpunan golongan syok sendiri yang gagal memperdaya rakyat, khususnya di kalangan orang-orang Melayu. Mereka syok sendiri kerana mereka menyangka mereka merupakan sebuah parti yang kuat dan masih berpengaruh dalam negara.
Perasaan sangka hebat itu wujud, kerana seluruh media massa, sama ada akhbar atau televisyen diarahkan membuat liputan besar-besaran, semakin menyerlahkan wajah mereka sebagai media talibarut Umno.
Habis semua pemimpin, perwakilan dan pemerhati Umno berasa amat megah dan bertuah kerana kononnya menunjangi satu-satunya parti politik Melayu yang terbesar dalam negara.Perhimpunan Umno hanya dipenuhi dengan ungkapan ampu-mengampu pemimpin, gurindam, pantun dan seloka buat pengubat duka nestapa akibat kemerosotan sokongan sejak Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac 2008.
Para pemimpin dan perwakilan yang berucap, seumpama memalu gendang-gendang yang kosong buat penghibur juak-juak yang hadir di Dewan Merdeka, PWTC.
Dalam kemegahan menayangkan perhimpunan mereka, mereka membuat pelbagai janji dan peruntukan kepada kononnya orang-orang Melayu, seolah-olah harta milik negara dijadikan harta pusaka Umno.
Dengan bongkaknya pemimpin Umno mendakwa jasa Umno begitu besar. Kerana katanya, peruntukan Umno yang bagi, naik elaun JKKK Umno yang bagi, pembangunan negara Umno yang buat, pendek kata banyak lagi Umno yang bagi. Rakyat yang menolak Umno dianggap tidak mengenang jasa Umno.
Mereka betul-betul tidak sedar diri. Yang pemimpin Umno bagi kepada rakyat itu duit 'mak bapak' mereka ke? Sedarlah diri sedikit. Duit kerajaan bukan duit Umno. Duit itu datang dari mana? Duit itu datang dari saku rakyat. Duit hasil pembayar cukai dan sebagainya.
Sama dengan duit yang ditabur sewaktu pilihan raya. Sama dengan projek yang ditabur sewaktu pilihan raya. Semua wang dan projek itu bukannya wang Umno. Ia adalah wang rakyat, yang disalahurus dan disalahgunakan oleh Umno.
Duit rakyat dikatakan duit Umno. Hakikat inilah yang menyebabkan rakyat di luar sana, begitu meluat dengan gelagat pemimpin Umno yang senantiasa 'perasan' kononnya di tangan merekalah nasib bangsa Melayu disandarkan.
Perhimpunan Umno bukannya dibincangkan permasalahan dan keperluan rakyat. Ia merupakan medan untuk pemimpin Umno 'memberi makan' juak-juak yang kelaparan. Ia dijadikan medan untuk orang-orang Umno, untuk leka dibuai perasan, kononnya mereka masih relevan.
Dalam satu pembaca kepada penulis, mencatatkan:
"Mohon saudara menulis hentam balik Umno, perhimpunan Umno yang paling ceroi. Tiada idea selain mencaci hina pembangkang, macam budak-budak. Orang Melayu di mana-mana pun meluat tengok perangai Umno."
Pada suatu malam, sedang TV3 memancarkan buletin utama memaparkan pemimpin Umno sedang berucap, seorang pekedai borong di Selayang memberi komen spontan," Ini semua menipu rakyat, kata tolong rakyat, tapi harga minyak, harga barang semuanya naik."
"Saya pun naik meluat, asyik-asyik muka ini sahaja yang keluar tv, surat khabar hari-hari," kata seorang pembeli.
Ini sekadar contoh daripada banyak lagi rungutan rakyat terhadap pemimpin Umno dan parti Umno yang jelas 'me mak bapak kan' harta, media negara.
Pemimpin Umno tidak menjawab secara jelas bertapa elaun JKKK lebih tinggi daripada elaun imam dan guru Kafa? Tidak dibincangkan mengapa peruntukan untuk projek Permata yang tidak menyeluruh, lebih besar dari peruntukan sekolah agama di seluruh negara?
Mengapa pemimpin-pemimpin dan orang Umno tidak membincangkan, siapa di antara mereka, atau berapa ramai yang berhimpun di PWTC, yang membeli seluar dalam dan baju dalam dari luar negara sehingga kerajaan terpaksa menghapuskan cukai?
Sekarang kita tanya pak-pak lebai, imam-imam kampung, guru-guru Kemas, petani, penternak atau dari kalangan wanita Umno, apakah faedah yang mereka dapat dari penghapusan cukai untuk seluar dalam, baju dalam yang diimport, dan sebagainya?
Jelasnya yang memberi barangan import ini semua hanyalah isteri-isteri orang kenamaan, orang-orang kaya, orang-orang standard. Orang miskin, rakyat biasa, tidak mendapat faedah apa-apa.
Fakta-fakta ini hanya menunjukkan, pemimpin Umno-BN hanya bertungkus lumus melindungi kepentingan kelompok mereka sahaja, bukan rakyat kebanyakan.
Dari sudut pertembungan ideologi mengapa tidak dibincangkan pertembungan antara ideologi 1Malaysia dengan perjuangan Melayu Umno?
Mengapa perwakilan Umno tidak berani membangkitkan soal syarikat Yahudi APCO Worldwide yang dibayar puluhan juta untuk 'mensucikan' imej Perdana Menteri, Umno-BN? Apakah seluruh perwakilan Umno setuju kerajaan Umno-BN membiayai syarikat Yahudi?
Apakah seluruh pemimpin dan perwakilan Umno yang berhimpun di PWTC sudah bisu atau minda mereka sudah diresapi minda Zionis?
Kalau hendak dicatat di sini, banyak sungguh perkara yang kita boleh gasak balik Umno-BN. Cukuplah sekadar ini dahulu.
Justeru bagi penulis, persoalan yang harus diajukan kepada Umno, apakah selepas berhimpun selama lima hari, dengan liputan penuh akhbar, televisyen yang menjadi alat, propaganda umno berjaya mempengaruhi rakyat kembali menyokong umno?
Apakah dengan propaganda itu rakyat berjaya diperdaya sehingga percaya Umno sudah pulih?
Orang Umno sendiri tidak akan percaya bahawa Umno kini sudah pulih. Yang mereka seronok sewaktu perhimpunan ialah kerana dapat duit, dapat makan free, dapat duduk hotel mewah, dapat shopping di Kuala Lumpur. Itu sahaja.
Seperti kata Pengarah Pilihan Raya BN bagi Dun Galas, Tengku Razaleigh Hamzah, yang mendakwa tidak wujud sebarang reform yang tulen dibentangkan dalam Pehimpunan Agung Umno.
"It will be the same thing. There will be a lot of talk followed by a lot of laughter. I don't think there will be a difference," kata Ku Li sewaktu ditemui media sebelum perhimpunan diadakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan