HALAMAN SANTAI

Jumaat, 10 Disember 2010

Dr M pandang enteng laporan Suaram

mahathir_wideweb__470x3060Oleh Rahmah Ghazali

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak dakwaan doktrin "Mahathirisme" telah kembali berikutan pencabulan terhadap politik dan hak asasi manusia oleh kerajaan persekutuan seperti didedahkan oleh Suaram.

Bercakap kepada para pemberita selepas menghadiri Hari Inovasi Ideaprenuer MRSM di Bukit Jalil dekat sini, tokoh politik veteran itu berkata, mereka yang mendakwa memperjuangkan hak asasi manusia tidak seharusnya mementingkan hak asasi di negara ini sahaja.

Beliau berkata, banyak cara untuk menginterpretasi hak asasi manusia dan ini tidak semestinya dilakukan dalam negara ini sahaja.

"Anda lihat……kami membantu mereka di Genting Gaza yang musnah akibat perang sebagai contoh, ini kes hak asasi manusia. Orang ramai dibunuh. Adakah mereka memperkatakan tentang hal ini? Adakah mereka berbuat sesuatu untuk menolong? Ini satu pelanggaran hak asasi manusia," bidas Mahathir.

Suaram semalam mendedahkan ulasan Laporan Politik dan Hak Asasi 2010, termasuk sebilangan besar mereka ditahan kerana terlibat dalam perhimpunan dan tekanan terhadap media yang disifatkan sebagai "menutup mulut masyarakat".

"Sudah tentu mereka terpaksa membuat dakwaan terhadap orang yang menentang mereka…..tapi ini bukan satu penilaian yang baik," katanya menambah, beliau juga berhak untuk menyatakan bahawa kumpulan hak asasi juga melanggar hak asasi manusia.

"Saya juga boleh berkata mereka bersalah kerana mencabul hak asasi manusia kerana saya ada hak untuk berkata bahawa mereka menjadi hamba kepada negara-negara lain atau kepada sesetengah ahli politik. Ini adalah hak saya untuk menyatakan mereka ini melanggar hak asasi manusia," katanya.

Tidak bersetuju ‘Ketuanan Melayu’ dibubar

Dalam perkembangan lain, Mahathir tidak setuju istilah ‘Ketuanan Melayu’ dibubarkan seperti yang dicadangkan oleh Presiden MCA Dr Chua Soi Lek atas alasan bukan Melayu rasa gelisah, pada Konvensyen Barisan Nasional Ahad lalu.

Mahathir berkata, membubar beberapa perkara tidak akan membantu keadaan, kerana ia akan mencipta lebih banyak masalah.

"Apabila anda meminta supaya sesuatu perkara itu dibuang, orang akan mula bertanya. Akan ada aduan. Banyak perkara yang tidak logik dan tanpa asas tapi bila anda (memberi maklum balas) terhadapnya, maka anda akan dilabel sebagai rasis," katanya.

Apabila ditanya sama ada debat awam tentang ‘Ketuanan Melayu’ yang didakwanya tidak pernah menjadi masalah sebelum ini, akan membawa kesan buruk dalam masyarakat, Mahathir berkata, tidak ada cara yang sesuai untuk menyelesaikan perkara ini.

"Perkara seumpama ini tidak pernah timbul sebelum ini sehingga ada pihak yang mula mempertikaikan kedudukan orang-orang Melayu.

Jika tidak ada pertikaian, tidak ada orang yang akan respon. Tapi bila anda respon, anda akan dilabel sebagai rasis.

"Sebaliknya, mereka yang menuduh mereka yang (mempertahankan Ketuanan Melayu), adalah juga rasis. Apabila mereka membuat kenyataan berbaur perkauman, maka mereka ini harus menjawab. Apabila anda respon, anda juga rasis," katanya.

Isu yang menyelubungi Ketuanan Melayu bukanlah baru kerana ini telah lama ditimbulkan banyak kali oleh berbagai pihak seperti Umno dan Perkasa, yang menjadi penyokong tegar kepada istilah tersebut.

Bagaimanapun, ia timbul semula apabila PKR baru-baru ini menggesa parti membubar Ketuanan Melayu, yang mereka dakwa hanya menguntungkan hanya segelintir dalam parti Umno dan sebaliknya menerima konsep Ketuanan Rakyat.

Keadaan ini telah mencetuskan kemarahan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu, ahli-ahli politik dan juga Sultan dan Agong, yang mengeluarkan titah berupa amaran supaya tidak mempertikaikan kedudukan orang-orang Melayu.

Tiada ulasan: