HALAMAN SANTAI

Selasa, 7 Disember 2010

KEADILAN Perlu Perkukuh Akar Umbi Selepas Pemilihan 2010

Oleh Suara Keadilan

pkr1

Tamat Sudah Pemilihan KEADILAN 2010 dan keputusan MPP telah diumumkan menerusi Kongres Nasional KEADILAN baru-baru ini. Pemilihan yang bermula 29 Oktober dan tamat pada 24 November 2010 itu menyaksikan konsep pemilihan “Satu Ahli Satu Undi” bercorak demokrasi yang pertama kali diadakan oleh mana-mana parti politik di Malaysia. Walauapapun diperkatakan oleh sesiapapun, sekalung tahniah kepada semua ahli KEADILAN yang terlibat meraikan demokrasi ini. Dari setinggi kepimpinan KEADILAN, kepimpinan cabang, Ranting serta ahli-ahli biasa; tahniah kerana berani menanggung risiko sehebat ini. Buat Setiausaha Agong dan timbalan-timbalan beliau serta JPP yang melaksanakan tanggungjawab; disebalik pelbagai kecaman anda semua berhak mendapat penghargaan kerana berpenat lelah dalam memastikan proses ini berjalan lancar.

Namun disebalik kejayaan melaksanakannya. beberapa perkara perlu diambil perhatian serius oleh pucuk pimpinan KEADILAN terutama mereka yang dinobatkan sebagai pemenang pada 28 November 2010. Ini penting dalam usaha KEADILAN untuk keluar menjadi lebih gagah selepas Pemilihan 2010. Berdasarkan konklusi yang dibuat oleh pimpinan KEADILAN, perlu ada usaha bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk memperbaiki apa jua kelemahan parti itu bukan sahaja disebabkan oleh Pemilihan 2010 tapi dek kerana usia parti tersebut yang baru menjangkau 12 tahun. KEADILAN adalah sebuah parti politik baru tetapi bercita-cita besar. Tidak salah kerana jika diukur menerusi tokoh sarjana sains politik Robert A. Dahl yang antara lain mengungkap bahawa parti politik oposisi yang efektif mesti sentiasa bersedia menjadi kerajaan andai diberi mandat. Sebagai sebuah parti politik yang kini dalam oposisi, dianggotai pula oleh barisan pemimpin dan ahli yang pelbagai latarbelakang dan idea; tentunya KEADILAN perlu sentiasa memperbaiki kelemahan.

Kelemahan ketara adalah KEADILAN merupakan sebuah parti yang boleh dikatakan “dari atas ke bawah”. Parti ini mempunyai barisan kepimpinan yang hebat. Terdiri dari pelbagai latarbelakang dan matlamat perjuangan. Tentunya para pemimpin parti yang berkarisma ramai pengikut dan peminatnya. Namun, Ia bukan parti yang akar umbinya kuat. Ini perlu diakui dan ianya akan membawa masalah kepada KEADILAN terutama dalam persediaan menjelang Pilihanraya Umum ke-12. Cita-cita besar KEADILAN untuk menawan Putrajaya mestilah diiringi dengan persediaan bermula dari akar umbi. Sememangnya struktur organisasi KEADILAN pasca pindaan perlembagaan 2009 menunjukkan wujudnya Cabang yang menaungi Ranting-Ranting dibawahnya. Namun, hakikatnya bukan semua Cabang KEADILAN mempunyai struktur sebegitu. Tidak semua juga Ranting yang wujud benar-benar aktif. Banyak yang sekadar ada. Malah ada Cabang yang tiada Rantingnya.

Keadaan ini sangat jauh jika dibandingkan dengan PAS dan DAP umpamanya. Cawangan PAS lebih tersusun dan tersedia. Malah jika dilihat ketika pilihanraya-pilihanraya sebelum ini, KEADILAn nampaknya banyak bergantung kepada akar umbi PAS untuk membantu kempen diperingkat akar umbi. Bayangkan kekuatan jentera kempen sekiranyan PAS, KEADILAN dan DAP mempunyai jentera akar umbi yang sama-sama gagah dan tersusun, Tentunya hasilnya akan lebih memberi impak kepad para pengundi.

Malah sewaktu Pemilihan 2010 sendiri, antara punca rendahnya peratus keluar terutama pengundian peringkat peringkat MPP adalah Cabang-Cabang agak sukar untuk menggerakkan Ranting-Rantingnya untuk membawa ahli-ahli keluar mengundi. Memang ada Cabang-Cabang yang begitu tersusun, tetapi lebih banyak Cabang yang ketiadaan Ranting. Jika tidak tidak mungkin berlaku dimana terdapat jumlah mengundi di Cabang tidak sampai 50 ahli. Sememangnya jumlah keluar mengundi pemilihan Cabang seramai 70,000 dan pemilihan MPP seramai 20,000 adalah satu jumlah yang baik. Namun sekiranya berlandaskan jumlah ahli yang menghampiri 400,000 , jumlah yang keluar mengundi sepatutnya lebih tinggi. Jumlah yang munasabah mungkin adalah sekitar 100,00 dengan purata mengundi 500 ahli setiap Cabang. Bayangkan sekiranya setiap Cabang mempunyai 30 Ranting secara purata dan setiap ranting menghantar 30 ahli untuk keluar mengundi, jumlah keluar mengundi akan mencecah 199,800 untuk 222 Cabang KEADILAN. Ini tentunya melambangkan sebuah parti politik yang benar-benar hebat. Tidak mustahil ia akan berlaku pada Pemilihan KEADILAN akan datang. Parti ini mempunya tiga tahun untuk mengukuhkan akar umbinya.

Setiausaha Agong KEADILAN menyatakan bahawa lebih 60 peratus pimpinan Cabang adalah dari kalangan muka-muka baru. Ini adalah satu petanda yang menarik dan perlu dilihat dari sudut positif. Barisan kepimpinan baru ini tentunya membawa bersama semangat dan idea-idea baru. Malah terdapat manifesto calon-calon ini antara lain ingin menambah bilangan ranting yang ada. Inilah masanya untuk mengotakan janji. Walaubagaimanapun, bilangan ranting bertambah perlu diiringi dengan kualiti ahli yang bermutu. Sudah sampai masanya KEADILAN memulakan satu konsep yang gagahnya sebuah parti bukan hanya kerana kuantiti ahlinya, tetapi kerana kualiti keahliannya. Ahli-ahli yang ada baik yang baru dan yang lama perlu diterap serta ditarbiahkan dengan idea dan konsep perjuangan KEADILAN. Persoalan tentang apa itu KEADILAN sekiranya belum dapat dijawab oleh pimpinan tertinggi, bayangkan ahli-ahli di akar umbi. Sekiranya penerapan nilai-nilai KEADILAN ini dapat dilaksanakan, sudah tentu budaya-budaya negatif politik kepartiaan dapat dielakkan. Lahirnya kesetiaan kepada parti politik sebenarnya dari akar umbi, bukan pemimpin yang dipayungterjunkan. Itu satu realiti yang perlu diambil iktibar oleh parti semuda KEADILAN.

Untuk itu, pimpinan tertinggi terutama menerusi Setiausaha Agong perlu memainkan peranan penting. Sistem pengurusan rekod keahlian umpamanya yang kerap menjadi masalah sedari dulu perlu diperbaiki. Bermula dari pemprosesan borang keahlian dari Ranting dan Cabang hinggalah kepada pengeluaran kad ahli perlu lebih efisien dan efektif. Kerap akar umbi merungut bahawa ada antara mereka yang masih belum mendapat kad keahlian walaupun sudah lama menjadi ahli parti. Keadaan ini sebenarnya memberi satu persepsi awal yang tidak elok untuk KEADILAN. Rasa sebahagian dari keluarga besar KEADILAN ini perlu dicipta dan dirasai, barulah elemen-elemen lain boleh diterap kepada ahli. Mana mungkin seorang ahli baru di Sarawak dan Sabah hatta dari Perlis sekalipun boleh ke Pejabat KEADILAN negeri mereka mahupun di Petaling Jaya semata mata demi untuk mendapatkan kad keahlian beliau. Ini sudah tentu memerlukan satu sistem penyampaian yang baik dari pengurusan tertinggi.

Masalah lain yang juga agak mendesak adalah penyampaian maklumat dari parti kepada ahli-ahli. Pimpinan KEADILAN tentunya maklum bahawa parti ini sentiasa digasak oleh media-media pemerintah. Sudah sampai masanya untuk KEADILAN melakukan yang lebih pro-aktif selain dari hanya menyalahkan media-media ini yang mengeluarkan berita yang negatif terhadap KEADILAN. Parti ini erlu menerima hakikat bahawa itu adalah sememangnya tugas media-media pemerintah dan mereka nampaknya melaksanakan dengan baik untuk memberi gambaran buruk kepada KEADILAN. Isu-isu yang dibangkitkan oleh media-media tersebut perlu dimbangi dengan jawapan dari KEADILAN terutama untuk makluman akar umbi. Komunikasi antara pimpinan dan akar umbi dalam hal ini amat penting dan tidak cukup untuk sekadar memberi alasan dengan menyalahkan media-media pusat itu. Laman-laman sesawang dan blog sahaja tidak mencukupi kerana bukan semua ahli mempunyai akses untuk melayarinya. Suara KEADILAN sendiri diharamkan dan Cuma mampu tercetak secara berkala dek kekangan kos dn himpitan peundangan. Blog Suara KEADILAN yang tekah diperbaharui wajahnya pula hanya mampu diakses oleh mereka yang mempunyai kemudahan internet. Bagaimana pula bagi ahli yang tinggal di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan sedemikian? Diburukkan pula dengan ketiadaan akhbar parti mereka, bagaimana mungkin untuk mereka menjawab tohmahan dan serangan terhadap parti mereka dengan menggunakan fakta yang sebenar? Ahli akar umbi hakikatnya merupakan mereka yang membawa mesej perjuangan KEADILAN kepada rakyat Malaysia. Mereka ini perlu diberi maklumat sebaik dan sekerap mungkin. Bagaimana dapat disamapiakan jika perhubungan dengan akar umbi belum mantap. Sehubungan itu, adalah penting KEADILAN memikirkan kaedah yang sewajarnya bagi menyebar dan menyampai maklumat terkinin kepada ahli-ahlinya. Hanya dengan itu, barulah lahir ahli-ahli yang bermaklumat dan sentiasa bersedia menjadi agen menyampai perjuangan kepada partinya.

Tentunya perubahan itu perlu juga datang dari kedua-dua hala. Atas ke bawah dan bawah ke atas. Pimpinan perlukan akar umbi. Akar umbi perlukan inspirasi dari pemimpimnya. Sekiranya ini dapat dimantapkan, dimana KEADILAN bukan sahaja mempunyai barisan kepimpinan yang mantap dan berkebolehan, ahli-ahli akar umbinyanya bukan sahaja multi etnik malah lengkap dengan skil yang pelbagai. Ini semua boleh menjadi kenyataan dengan syarat KEADILAN sebagai sebuah keluarga besar mampu dengan suci hati bertaut kembali selepas Pemilihan 2010 dan kemudiannya Kongres Nasional Ketujuhnya yang diadakan baru-baru ini.

Hamdan Datuk Mohd Salleh merupakan Pensyarah Kanan dan mantan Ketua Jabatan Sains Sosial di Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, Universiti Industri Selangor (UNISEL). Beliau mengkhusus kepada pengurusan politik dan kini sedang menyiapkan kajian peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Politik Oposisi.

Tiada ulasan: