HALAMAN SANTAI

Rabu, 8 Disember 2010

Lebih ramai wanita Islam cerai kerana tiada persefahaman banding lelaki

BERNAMA

KUALA LUMPUR— Kurang persefahaman antara suami isteri menjadi punca utama perceraian di kalangan umat Islam di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata ia merupakan hasil kajian yang dijalankan oleh Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Jun 2005 ke atas perceraian yang berlaku bagi tempoh 2003-2004.

“Di pihak suami, tiada persefahaman merupakan punca paling utama perceraian iaitu sebanyak 43.33 peratus, tidak bertanggungjawab (32.93 peratus), masalah akhlak dan sosial (12.03 peratus), masalah pihak ketiga (5.54 peratus) dan masalah ekonomi (2.62 peratus),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) yang ingin tahu punca utama perceraian di kalangan umat Islam di negara ini.

Jamil Khir berkata bagi pihak isteri pula, punca perceraian kerana tiada persefahaman adalah sebanyak 69.44 peratus, tidak bertanggungjawab (17.68 peratus), masalah akhlak dan sosial (5.84 peratus), masalah pihak ketiga (4.42 peratus) dan masalah seksual (1.38 peratus).

Beliau turut memaklumkan Dewan Rakyat bahawa sejumlah 135,136 orang Islam berkahwin pada tahun lepas dan bilangan yang bercerai adalah 27,116 orang.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak membandingkan jumlah itu kerana kebanyakan kes perceraian melibatkan perkahwinan terdahulu dan diselesaikan pada tahun lepas.

Beliau juga berkata kerajaan melalui Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri telah merancang dan melaksanakan program-program berkaitan ke arah memantapkan institusi keluarga dan seterusnya mengurangkan kadar perceraian di negara ini.

Terdahulu, menjawab soalan Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) tentang jumlah khatib bertauliah yang dilantik Jakim di seluruh negara, Jamil Khir berkata pada masa ini terdapat kira-kira 15,104 orang khatib dan imam bertauliah.

“Kuasa melantik khatib dan imam bertauliah di setiap negeri terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri berpandukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri,” katanya.

Bagaimanapun, 18 imam berada di bawah seliaan Jakim dan bertugas di Masjid Negara, Masjid Putra serta Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Tiada ulasan: