BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata wanita di luar bandar adalah antara golongan yang paling terpinggir di negara ini.
Beliau berkata, untuk memesatkan pembangunan kepada golongan miskin ini, kerajaan telah menyusun pelbagai skim untuk membina kemahiran bagi meningkatkan pendapatan mereka.
"Melalui perspektif jangka panjang, kita sedang memfokus kepada aspek pelajaran di segenap pelusuk bagi membina impetus yang perlu untuk meningkatkan kawasan luar bandar Malaysia.
"Meningkatkan tahap pelajaran adalah antara enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) di bawah Program Tranformasi Kerajaan," katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Wanita 2010 di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata, sasaran kerajaan ialah untuk melahirkan 4,000 usahawan wanita daripada masyarakat berpendapatan rendah menjelang 2012.
Katanya, pada masa sama, kerajaan mahu menyaksikan lebih ramai wanita berkemahiran menyumbang ke arah persaingan ekonomi global di dalam negara yang maju ke hadapan, vibran dan berpendapatan tinggi.
"Kerajaan tidak mahu melihat wanita Malaysia melakukan kerja yang berproduktiviti rendah, bergaji rendah dan melakukan pekerjaan tanpa jaminan perlindungan sosial, hak asasi atau bersuara di tempat kerja.
"(Ini) sebagaimana yang disebut oleh Trend Pekerjaan Global Wanita Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada Mac 2008. Matlamat kita ialah untuk menambah penyertaan wanita dalam tenaga kerja kepada 55 peratus menjelang 2015," katanya.
Muhyiddin berkata, dengan penekanan kepada pelajaran yang lebih baik, latihan dan latihan semula, kerajaan mahu melihat lebih ramai wanita berkemahiran menyumbang ke arah persaingan ekonomi global.
Beliau berkata, dengan mengambil kira kepentingan untuk mewujudkan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan, kerajaan sedang melakukan perubahan yang bersesuaian untuk memperkenalkan peraturan kerja sampingan di bawah Akta Pekerjaan 1955.
Katanya, kerajaan turut mengenal pasti bahawa dengan hanya kira-kira 46 peratus wanita menyumbang kepada ekonomi negara kini, terdapat banyak lagi skop yang boleh diperbaiki.
Menekankan kepentingan wanita dalam tenaga kerja, Muhyiddin berkata terdapat lonjakan dalam jumlah wanita yang menduduki jawatan di peringkat pembuat keputusan di dalam pentadbiran kerajaan Malaysia.
Tahun lalu, 28.8 peratus wanita menduduki Dewan Negara dan 10.4 peratus di Dewan Rakyat sementara 30.5 peratus menduduki jawatan tinggi sektor pentadbiran awam.
Namun, katanya, bilangan ketua pegawai eksekutif (CEO) wanita di syarikat-syarikat di Malaysia tidak mencerminkan kebolehan dan keupayaan wanita.
Malaysia menduduki ranking kelima bersama China dan Taiwan dengan mempunyai 31 peratus penyertaan wanita dalam pengurusan kanan di sektor perniagaan milik persendirian.
Muhyiddin berkata, di sektor swasta secara keseluruhan, angkanya mula turun dengan hanya 26.2 peratus wanita menduduki jawatan pengurusan, 6.1 peratus pengarah korporat dan tujuh peratus sebagai CEO di 100 syarikat terbesar di Bursa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan