HALAMAN SANTAI

Khamis, 9 Disember 2010

Pendekatan agama atasi gejala sosial

BERNAMA

Memandangkan kemelut semakin meningkat langkah segera elak keruntuhan peradaban nusa dan bangsa.

Gejala sosial seperti perjudian, pengambilan arak, dadah, pelacuran dan rasuah bukan masalah baru dan bukan saja dialami masyarakat di Malaysia. Ia sebenarnya berlaku lama dalam sejarah dan dihadapi oleh masyarakat manusia yang menganuti pelbagai agama serta kepercayaan.

Memandangkan kemelut gejala ini semakin meningkat dan dibimbangi akan membawa kepada keruntuhan peradaban, langkah segera perlu difikirkan dengan memberi penekanan kepada pendekatan agama.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dalam wawancara eksklusif dengan Bernama di pejabat Ikim di Kuala Lumpur baru-baru ini memberitahu bahawa pendekatan agama boleh memberi kesan yang lebih besar dalam menangani kemelut gejala sosial.

“Agama itu penting dan rakyat Malaysia mendukung agama. Malahan ini disebut dalam Rukun Negara kita iaitu Kepercayaan kepada Tuhan.

“Bagaimanapun, pendekatan agama bukan bererti hukuman semata-mata tetapi lebih kepada kefahaman melalui pendidikan.

“Kalaulah masyarakat kita faham tentang agama, yang Islamnya lebih menghayati Islam dan yang bukan Islam kepada agama masing-masing, sudah tentu kita dapat setidak-tidaknya mengurangkan perangkaan gejala sosial ini daripada terus meningkat,” katanya.

Dengan merujuk kepada agama Islam, beliau turut berpandangan seruan mengajak masyarakat kembali kepada al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW jangan sekadar bersifat retorik dan slogan.

“Kita perlu meyakinkan mereka melalui kefahaman dan keintelektualan kita. Barulah kita boleh berhujah secara ilmiah,” jelasnya.

Nik Mustapha pantas merujuk kepada peradaban masyarakat manusia di peringkat antarabangsa di mana katanya kini berada di ambang keruntuhan.

Mengambil contoh Eropah dan Amerika Syarikat, beliau turut menyentuh isu kegawatan ekonomi yang semakin tenat yang turut memberi tamparan hebat kepada negara-negara lain dunia.

“Di Eropah satu demi satu ekonomi negara mereka menghadapi masalah, ada negara menjadi muflis. Amerika Syarikat sendiri menanggung hutang begitu banyak lebih daripada 50 trilion dolar.

“Bukan sahaja ekonomi runtuh tetapi institusi rumah tangga runtuh, perkahwinan ditolak dan bersekedudukan tanpa perkahwinan berleluasa.

“Ini hasilnya apabila masyarakat berpendapat cukup dengan kemampuan akal sehingga manusia merasai tidak perlu kepada petunjuk Ilahi,” kata beliau.

Punca keruntuhan

Perlu juga diingat bahawa gejala sosial bukan setakat melibatkan kos akhlak tetapi turut mempunyai implikasi ekonomi! Seperti yang dijelaskan Ketua Pengarah Ikim, sudah tiba masanya untuk semua pihak memandang serius ancaman gejala sosial ini yang jika tidak dibendung boleh merencat dan membantutkan usaha pembangunan negara.

“Kalau tidak apa ertinya pertumbuhan ekonomi? Kita tidak akan mampu meneruskan pencapaian jika gejala sosial menghala kepada wujudnya ahli masyarakat yang tidak berfungsi?

“Contoh, penagih dadah yang perlu menjalani pemulihan di pusat serenti. Kos untuk mengendalikan pusat ini ditanggung kita pembayar cukai. Jika ramai yang duduk di pusat-pusat pemulihan seperti ini kita secara tidak langsung kerugian tenaga pekerja.

“Ekonomi tidak boleh maju kalau anak kita tidak boleh berfungsi. Malahan bukan sahaja dia tidak boleh berfungsi kita kena biayai kos pemulihan mereka. Bagaimana pula mereka yang ketagihan arak dan judi?” soal Nik Mustapha.

Institusi rumah tangga adalah sinonim kepada kewujudan peradaban. Institusi keluarga juga sering dikaitkan sebagai punca kepada berlakunya gejala sosial.

Menurut Nik Mustapha, satu daripada punca gejala sosial dalam kalangan anak-anak ialah tiada didikan dan kasih sayang ibu bapa. Sebagai contoh, katanya, ada anak-anak yang terjebak dengan penyalahgunaan najis dadah disebabkan oleh ketandusan kasih sayang ibu bapa dan salah pilih kawan.

“Ibu bapa tidak berkawan dengan anak-anak mereka seperti yang dianjurkan oleh agama sehingga mereka mencari kawan di luar,” katanya.

Beliau memberi contoh cara mendidik anak seperti yang dianjurkan Saidina Ali Abi Talib, iaitu khalifah keempat Islam.

“Saidina Ali berkata, umur 7 tahun ke bawah bermainlah dengan anak-anak, dan belailah mereka dengan sepenuh kasih sayang. Selepas 7 tahun, kita tanamkan sedikit disiplin tetapi bukan bererti menghukum mereka dengan rotan.” katanya.

Nik Mustapha menekankan pentingnya menggalakkan anak-anak 7 tahun ke atas bersolat. Lepas 10 tahun ada sedikit hukuman. Umur 14 tahun ke atas berkawanlah dengan anak-anak. Maknanya kalau anak suka bermain tenis, kita patut bermain dengan mereka.

“Kalau tidak bertenaga untuk bermain sekurang-kurangnya kita mengambil tahu tentang permainan ini, siapa pemain-pemain hebat sebagai contoh. Jadi kita mampu berkomunikasi dengan anak-anak.

“Pandangan Saidinia Ali ini sudah pasti pancaran daripada pemahaman al-Quran dan Sunnah,” kata Nik Mustapha sambil menambah kata ibu bapa juga perlu meluangkan masa makan bersama anak-anak yang boleh mencambah kemesraan.

Menurut beliau, jika setiap ibu bapa memainkan peranan dan mendidik serta menjaga anak masing-masing, usaha berkenaan tidak mustahil boleh mengurangkan penularan gejala sosial.

Anak-anak mungkin tidak mendapat cukup kasih sayang kerana ibu atau bapa mereka terpaksa melakukan banyak kerja untuk mencari wang lebih menampung kenaikan kos sara hidup.

Menurut Nik Mustapha, ada ibu atau bapa mungkin terpaksa melakukan dua atau tiga jenis pekerjaan demi menyara keperluan hidup keluarga. Namun, katanya ada juga yang bekerja sehingga lewat malam kerana terlalu rakus kepada kebendaan dan kemewahan hidup.

“Orang seperti ini hidup hanya untuk mengumpul harta bagi memuaskan tuntutan hawa nafsu.

“Lihat masyarakat Jepun, mereka sedang menghadapi masalah sekarang. Walaupun masyarakatnya ada kelebihan, berdisiplin tinggi, berjiwa besar tetapi disebabkan hidup bermewah-mewahan, ia membawa masalah lain iaitu berhutang. Sekarang ada ramai rakyat Jepun hidup di bawah khemah,” katanya.

Menurutnya, di Barat perkara yang sama berlaku. Sebahagian hidup masyarakat di sana mengamalkan pandangan hidup sekularisme. Mereka mungkin beragama Kristian, tetapi agama itu tidak menjadi panduan hidup mereka. Apa yang menjadi panduan hidup mereka ialah kapitalisme semata-mata,” katanya.

Apa yang pasti ialah gejala sosial turut melibatkan orang yang berada dan tidak semestinya orang tidak berada semata-mata. Di dalam hal ini, Nik Mustapha turut menegur ibu bapa yang langsung tidak meluangkan masa untuk anak-anak mereka dan beranggapan kasih sayang boleh ditukar dengan wang ringgit.

“Ada ibu bapa, kalau anak ada masalah bagi kad kredit. Itu bukan penyelesaian,” katanya.

Seminar Ikim

Sebagai satu usaha untuk mencari jalan penyelesaian kepada gejala sosial yang semakin membimbangkan, Ikim sebagai sekretariat kepada jawatankuasa mempromosi perhubungan antara agama dalam negara akan menganjurkan satu seminar pada hari ini dan esok. Seminar dua hari ini bertajuk 'Peranan Agama Dalam Menangani Gejala Sosial'.

Pengerusi Ikim, Tun Abdullah Ahmad Badawi dijadual merasmi dan menyampaikan ucap utama pada seminar yang menampilkan 14 kertas kerja.

Tiada ulasan: