HALAMAN SANTAI

Sabtu, 18 Disember 2010

Penderma organ masih kurang

imagesOleh Dhia Daniel

KUCHING: Sarawak masih mengalami kekurangan penderma organ dengan bilangan semasa hanya 4,583 orang atau 3.1 peratus daripada 149,315 orang yang berikrar untuk menderma organ melakukan apa yang telah mereka janjikan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak, Dr Zulkifli Jantan berkata, kekurangan tersebut mungkin berpunca daripada bantahan ahli keluarga setelah individu yang berikrar menderma organ meninggal dunia.

"Kita menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus penduduk berikrar menderma organ di negeri ini tetapi kerana masalah itu, ia (sasaran) masih tidak dapat dipertingkatkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam pada sidang media sempena acara Jerayawara Promosi Pendermaan Organ 2010 Zon Sarawak di sini, semalam.

Menurutnya, agak sukar untuk mana-mana pihak melaksanakan pemindahan organ jika terdapat bantahan daripada anggota keluarga kerana mereka mempunyai hak untuk menghalangnya.

"Agak sukar untuk kita melakukan apa-apa kerana ikrar penderma organ adalah bersifat sukarela. Bagi mengurangkan tanggapan serong penganut agama tertentu, kita akan meningkatkan kempen kesedaran secara lebih agresif dan antara strategi diambil ialah menerusi jerayawara ini," ujarnya.

Organ buah pinggang

Beliau memberitahu, antara organ yang paling mendapat permintaan tinggi di negeri ini ialah buah pinggang.

Tambahnya, secara keseluruhan jumlah pengikrar penderma organ di negara ini majoritinya kaum Cina iaitu 86,092 orang atau 58 peratus diikuti masyarakat kaum India seramai 35,428 (24 peratus) dan Melayu seramai 23,607 (16 peratus).

Statistik Pusat Sumber Transplan Nasional menunjukkan golongan berumur antara 21 hingga 30 tahun mencatat bilangan pengikrar paling ramai dengan jumlah 54,355 atau 36.4 peratus.

"Jumlah keseluruhan yang telah menderma organ sehingga kini ialah 307 orang dan bagi tahun ini sehingga November seramai 36 orang penderma telah menderma organ mereka," jelasnya.

Jerayawara bertemakan ‘1Malaysia 1Harapan-Dermalah Organ Demi Kehidupan’ akan diadakan di Pusat Membeli Belah Boulevar pada 24 dan 25 Disember ini.

Tiada ulasan: