HALAMAN SANTAI

Rabu, 8 Disember 2010

Perkahwinan kanak-kanak mula diterima masyarakat


pengarah-jakimOleh Rahmah Ghazali

PETALING JAYA: Seorang gadis sunti beragama Islam berusia 14 tahun membuat kejutan kerana mengambil bahagian dalam majlisperkahwinan beramai-ramai di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Namun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyifatkan perkara ini mula dapat diterima oleh masyarakat.

Menurut Ketua Pengarahnya, Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, perkahwinan kanak-kanak tidak harus menimbulkan apa-apa masalah jika perkahwinan itu di dasari perasaan cinta di antara kedua-dua pasangan itu.

"Isu penting di sini ialah sama ada perkahwinan ini melanggar undang-undang Islam dan undang-undang konvensional di Malaysia.

"Tapi jika terdapat unsur paksaan dalam perkahwinan itu maka kami akan menjalankan siasatan menurut kes," katanya melalui mesej teks kepada FMT semalam.

Beliau berkata memandangkan buat masa ini masalah di kalangan orang-orang Islam semakin parah maka perkahwinan seperti ini harus digalakkan.

"Kami harus menggalakkan perkahwinan seperti ini dan bukan menakut-nakutkan orang yang beria-ia hendak berkahwin," kata Wan Mohammad.

Kursus pra perkahwinan

Tambahan pula, beliau yakin kursus pra perkahwinan yang diperkenalkan oleh Jakim sejak 1992 membantu ramai pasangan untuk meneruskan kehidupan berumah tangga termasuk budak sekolah yang mengikat tali perkahwinan dengan lelaki dua kali ganda usianya.

"Orang ramai menentang objektif ini pada peringkat awal, tapi sekarang, perkahwinan kanak-kanak sudah mula dapat diterima sebagai langkah wajar," katanya.

Fenomena sebegini bukannya baru di Malaysia, di mana kumpulan hak asasi manusia terus menerus mendesak supaya dibuat pembaharuan.

"Sekatan oleh mahkamah syariah yang diberi kuasa untuk meluluskan perkahwinan di bawah umur, dianggap sebagai "tidak dapat diterima," jelas beliau.

Menurut laporan berita, kanak-kanak sekolah itu Siti Maryam Mahmod berkahwin dengan seorang guru Abdul Manan Othman berusia 23 tahun pada 4 Disember lalu di Masjid Wilayah Persekutuan setelah mendapat kelulusan dari mahkamah syariah.

Naikkan usia minima perkahwinan

Kumpulan aktivis, Sisters-in-Islam (SIS) sebaliknya, mengutuk perkahwinan kanak-kanak, dan mencadangkan supaya kerajaan menetapkan usia minima 18 tahun untuk berkahwin bagi semua rakyat Malaysia.

Jurucakap SIS Yasmin Masidi dalam kenyataannya semalam berkata, akhir baligh tidak boleh dijadikan ukuran kematangan yang cukup untuk memasuki gerbang perkahwinan.

"Walaupun al-Quran tidak menyebut secara khusus umur perkahwinan tetapi mereka boleh diuji mengenai kemampuan berfikir dan berkebolehan menjaga harta seperti firman Allah dalam Surah an-Nisa Ayat 6, yang bermaksud,

"Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya maka serahkanlah kepada mereka hartanya………….."

Beliau berkata usia perkahwinan harus dikaitkan dengan kematangan dan kemampuan menilai dengan baik di mana seorang kanak-kanak di bawah usia 18 tahun tidak mempunyai pengalaman hidup yang secukupnya untuk menanggung tanggungjawab berumah tangga.

"Tidak ada sebab yang kukuh kenapa keluarganya dan bakal suami tidak boleh menunggu sehingga gadis itu mencapai usia matang sebelum meminta izinnya untuk berkahwin," katanya.

Masalah perkahwinan kanak-kanak

Yasmin menambah, Malaysia sebagai model negara Islam, harus mengikut jejak langkah negara-negara majoriti umat Islam lain yang mula mengambil langkah untuk menangani masalah perkahwinan kanak-kanak.

"Seorang lelaki di Indonesia dipenjara kerana melakukan deraan seksual terhadap gadis bawah umur, ketika berkahwin dengan seorang gadis berusia 12 tahun dan malahan pihak berkuasa Arab Saudi sedang menimbang untuk mengharamkan perkahwinan seumpama ini.

"Kita harus mengikut contoh negara-negara Islam yang lain walaupun ditentang oleh golongan konservatif. Kajian terhadap perkahwinan kanak-kanak mendapati kanak-kanak itu, terutama gadis-gadis sunti mengalami derita akibat kehilangan zaman kanak-kanak dan remaja.

"Ini termasuk penafian kebebasan dan kemajuan diri individu, kesukaran mendapat pendidikan, masalah kesihatan kerana mengandung pada usia muda dan deraan," tambahnya.

Perkahwinan kanak-kanak berusia 14 tahun itu bagaimanapun, hanya merupakan satu masalah terasing kerana banyak lagi kes perkahwinan kanak-kanak yang tidak dilaporkan.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Heng Seai Kie pada Oktober lalu, seramai 16,000 gadis berusia di bawah 15 tahun mendirikan rumah tangga.

Tiada ulasan: