| KUALA LUMPUR - Berkat perjuangan rakyat menuntut keadilan dalam isu kenaikan tarif air dan penswastaan perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kerajaan Negeri Selangor akan mengemukakan semula tawaran untuk membeli aset empat syarikat konsesi air di negeri itu menjelang akhir tahun.
Bercakap kepada Suara Keadilan di lobi Parlimen hari ini, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau telah menerima surat dari Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin meminta kerajaan negeri membuat tawaran semula semula kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd, Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas).
"Saya terima surat dari Menteri semalam dan sukacita saya sebutkan inilah sikap yang patut ada antara kedua-dua belah pihak. Maknanya pihak pusat pun ada hak dan pihak kerajaan negeri dan rakyat juga mempunyai hak dalam penyelesaian isu ini.
"Saya berharap perubahan sikap positif dari pihak kerajaan pusat akan membantu kita mengatasi kemelut ini yang berpanjangan.
"Kerajaan negeri akan bermesyuarat secepat mungkin dan saya yakin pada minggu ketiga bulan Disember setelah semua dokumen berkaitan disiapkan dan diedarkan kepada semua Exco, pihak kerajaan negeri akan mengemukakan semula tawaran untuk membeli empat aset konsesi air itu," kata Abdul Khalid yang enggan menyatakan jumlah tawaran sebenar yang akan dibuat.
Bagaimanapun Selangor pernah menawarkan RM5.7 bilion untuk mengambil alih seluruh aset dan pegangan bukan milik kerajaan negeri dalam keempat-empat syarikat tersebut namun kerajaan pusat membantah dan meminta pampasan hampir RM10 bilion.
Dalam isu air, Selangor menganjurkan pendekatan holistik di mana empat syarikat swasta yang mendapat konsesi air akan dibeli dan diletakkan ke dalam satu Badan Bertujuan-Khas.
Entiti baru ini pula akan diurustadbir sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan mempunyai perkongsian saham istimewa.
Semua asset berkaitan air akan dipindahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) syarikat di bawah Kerajaan Persekutuan.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan