HALAMAN SANTAI

Ahad, 13 Februari 2011

BN ‘setuju’ tiada pilihan raya umum, Sarawak serentak

KUALA LUMPUR — Barisan Nasional (BN) dilihat tidak cenderung untuk mengadakan kedua-dua pilihan raya umum nasional dan negeri Sarawak secara serentak meskipun beberapa pemimpin negeri itu membawa idea tersebut pada mesyuarat perikatan itu kelmarin.

Sehubungan itu, difahamkan pilihan raya negeri Sarawak akan didahulukan dan dijangka berlangsung awal April ini.

“Memang ada idea daripada beberapa pemimpin Sarawak supaya kedua-dua pilihan raya umum pusat dan negeri Sarawak diadakan serentak kali ini, tetapi pandangan umum pemimpin BN ialah pilihan raya negeri perlu diadakan terlebih dahulu,” kata seorang pemimpin komponen BN yang menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi di ibu negara malam kelmarin.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib juga merasakan pilihan raya negeri Sarawak perlu didahulukan berbanding pilihan raya umum nasional, kata sumber itu.

Spekulasi menyebut bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun ini - sama ada akhir suku kedua ataupun pada suku keempat tahun ini.

Di sebalik spekulasi itu, ada pandangan yang berbelah bahagi sama ada wajar Najib selaku pengerusi BN dan presiden Umno memanggil kedua-dua pilihan raya serentak.

Ada yang berpandangan bahawa Najib harus menggunakan tahap populariti yang masih tinggi untuk mengadakan kedua-dua pilihan raya serentak.

Mandat kerajaan negeri Sarawak akan berakhir Julai ini manakala kerajaan pusat boleh memerintah sehingga akhir April 2013.

Sumber itu juga berkata, pertemuan kelmarin mendapati BN memerlukan masa untuk membuat persediaan susulan bagi menghadapi pilihan raya umum.

“Nampaknya ramai berpandangan bahawa tidak ada desakan untuk mengadakan pilihan raya umum lebih-lebih yang serentak, persiapan perlu rapi... lagi pun baru tiga tahun selepas Mac 2008, mandat semasa boleh diteruskan hingga 2013,” katanya.

Pemimpin itu berkata kepimpinan Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin juga memaklumkan bahawa mereka akan mengadakan lawatan ke seluruh negara dan ia memerlukan masa sehingga Julai atau Ogos.

Ketika menutup Perhimpunan Agung Umno 2010 akhir tahun lalu, Najib berkata beliau dan Muhyiddin akan menemui ahl-ahli Umno di seluruh negara mulai awal tahun ini, usaha yang dijangka akan memakan masa tiga hingga empat bulan.

“Bermakna, selepas itu kita akan berhadapan bulan puasa dan sambutan Aidilfitri, malah kerajaan juga perlu melihat hasil pendekatan KPI dan program-program transformasi yang lain, jadi ini semua memerlukan masa.

“Kalau paling cepat pun pilihan raya mungkin diadakan November, dan jika tidak tahun depanlah... ia petunjuk yang kami terima daripada mesyuarat kali ini, itu yang saya faham,” kata beliau lagi.

“Bagaimanapun apa pun boleh berlaku... perdana menteri mempunyai kata putus,” ujar pemimpin yang lain.

Selain itu menurut pemimpin tersebut, “berdasarkan cakap-cakap di kalangan pemimpin komponen BN, saya boleh melihat kemungkinan akan ada rombakan Kabinet, tetapi bukannya pilihan raya serentak dengan negeri Sarawak.”

Kabinet kemungkinan akan disusun semula bulan depan sesuai dengan garis panduan KPI ditetapkan Najib.

Sesi sidang Parlimen akan berlangsung selama sebulan mulai awal bulan depan.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN kelmarin turut membincangkan beberapa persediaan sebelum parti itu mengadakan Konvensyen BN Sarawak di Kuching pada 5 Mac ini.

Konvensyen itu nanti akan membincangkan beberapa perkara berkaitan dengan pilihan raya negeri Sarawak yang mandat Dewan Undangan Negeri tamat pada Julai.

Najib juga memberitahu wartawan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud sudah mendapat “inspirasi” untuk memanggil pilihan raya negeri.

12 ulasan:

Mohd Ishak berkata...

Walaupun begitu, pilihanraya tetap akan diadakan, jadi bersedialah menghadapinya.

Jason berkata...

Why the rush to have election??

Jason berkata...

Most importantly, all parties should just be prepared for the election.

zam berkata...

tidak kira bila masa pilihan raya akan diadakan, yang penting persediaan yang mantap perlu dibuat.

elia berkata...

Itu sudah bagus, Buat kerja satu kali. Tidak perlu lagi balik2 kira undi.

elia berkata...

Seperti pendapat lain, tidak kira bila pilihan raya itu akan diadakan, persediaan awal harus diambil bagi mengelak pelbagai masalah yang timbul pada masa Pilihan Raya itu nanti.

evan medhousky berkata...

jadi tidak perlu lagi timbul isu berkenaan dengan tarikh pilihanraya umum dan negeri kerana jelas pilihanraya ini dilakukan secara berasingan. semua parti yang bertanding bolehlah memberikan tumpuan sepenuhnya di Sarawak..

evan medhousky berkata...

mungkin berita ini memberi sedikit kelegaan kepada pihak pembangkang kerana mereka boleh menggerakkan 100% tenaga serta jentera mereka di Sarawak.

Tanpa Nama berkata...

Tak kisahlah bila pilihan raya. Yang penting ialah pastikan semua pihak bersedia.

Tanpa Nama berkata...

Semuanya nanti terpulanglah pada rakyat untuk membuat penilaian kerana undi rakyat la yang menentukan segalanya.

Hosie Masie berkata...

Bersedialah selalu untuk pilihanraya, kerana pada bila-bila masa boleh dilaksanakan.

tombolo berkata...

pilihanray negeri Sarawak akan diadakan terlebih dahulu bagi menilai sejauhmana sekongan rakyat terhadap BN sebelum PRU diadakan.