SINAR HARIAN ONLINE
SABAK – Kehadiran golongan remaja dari semasa ke semasa semakin bertambah memenuhi Surau Raudhatul Jannah yang menjadi pusat dakwah dan hub ilmu bagi masyarakat Islam di Taman Pertama dan sekitarnya.
Pengerusi surau, Imam Asmui Rasidin berkata, permainan seperti ping pong dan karom antara medium yang dapat menarik golongan itu menjadikan surau sebagai pusat sehenti menjalankan aktiviti.
“Pada masa sama, kita juga melaksanakan program motivasi dan tazkirah untuk golongan remaja pada Rabu malam Khamis setiap minggu.
“Dari situ, kita dapat melihat kehadiran mereka semakin bertambah dari semasa ke semasa. Selain itu, kita turut mengadakan tazkirah Subuh setiap Sabtu dan Ahad yang disampaikan oleh penceramah jemputan dan tempatan bersesuaian dengan situasi semasa,” katanya ketika ditemui pada Program Karnival Mini Maulidur Rasul 1432 Hijrah, Surau Raudhatul Jannah, Taman Pertama, di sini, semalam.
Hadir merasmikan majlis, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Ali. Hadir sama, ketua jabatan, penghulu dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Katanya, surau berkenaan dalam proses merancang untuk mengadakan program remaja melibatkan belia dan beliawanis setempat pada musim cuti sekolah pada Jun nanti.
Menurut Imam Asmui, karnival tersebut diadakan dengan sumbangan dana sebanyak RM10,000 daripada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak di samping kerjasama padu daripada pelbagai jabatan kerajaan.
“Kita merancang untuk mengadakan program tersebut sejak sekian lama dan persiapannya sudah dilakukan sejak dari awal lagi. Ia bertujuan menanamkan rasa cinta kepada Rasulullah di samping menyemarakkan ikatan ukhuwah dalam kalangan penduduk di Taman Pertama dan Serendah.
“Kita juga mahu, ia meningkatkan lagi fungsi surau tersebut sebagai pusat ibadah, pusat dakwah dan hub ilmu serta menjinakkan masyarakat setempat dengan surau. Kita bercadang untuk mengadakan program seperti ini tiga hingga empat tahun sekali bagi memastikan masyarakat tidak jemu dan sentiasa menyokongnya,” katanya.
Katanya, dalam karnival mini yang julung kali diadakan ini, antara aktiviti yang diadakan adalah Pertandingan Perarakan Maulidur Rasul yang disertai empat kontinjen iaitu Taman Pertama Fasa I, Taman Pertama Fasa II dan Serendah, Taman Pertama Fasa III serta Taman Pertama Fasa IV.
“Kita juga adakan pelbagai pengisian yang dapat menarik semua lapisan masyarakat sertainya antaranya kuliah Subuh, slot motivasi remaja daripada Ustaz Zamri Zainal Abidin, pertandingan masakan kering, sukaneka dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan