HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Februari 2011

Jangan Ambil Ringan Protes Rakyat- Lim Kit Siang

TVS NEWS


SHAH ALAM: Penasihat DAP, Lim Kit siang menyeru kerajaan Umno-BN agar tidak mengambil ringan isu protes membantah buku 'Interlok' yang dibuat oleh Hindraf semalam dan mengingatkan kerajaan pusat bahawa bantahan kecil sebeginilah yang telah menyemarakkan semangat perubahan di negara-negara Timur Tengah baru baru ini.

Laporan ThemalaysianInsider menyatakan, beliau turut memberi amaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa sekiranya Najib enggan melepaskan kesemua yang ditahan semasa demo 'Interlok' semalam, ia berkemungkinan boleh menyebabkan BN mendapat reaksi yang buruk dalam pilihanraya umum akan datang.

"Apa yang telah berlaku di seluruh dunia.. revolusi Tunisia, India, dunia Arab.. ini telah memberi semangat baru, memberitahu kita bahawa kita juga mahukan perkara yang sama di sini," tegas beliau.

Semasa berucap dalam majlis makan malam anjuran DAP Selangor sempena harijadinya yang ke-70, beliau turut memberitahu Najib agar belajar daripada revolusi Timur Tengah yang memperlihatkan dua pemimpin yang telah begitu lama mentadbir dijatuhkan, dengan menunjukkan komitmen bagi membawa perubahan di dalam negara.

Kata beliau, walaupun Najib telah menjanjikan perubahan tetapi tindakan polis menahan peserta demo semalam menunjukkan kebebasan berkumpul dan berekspresi masih kekal sebagai konsep yang asing.

Katanya lagi, Najib perlu membebaskan kesemua 109 peserta rali yang ditahan, membatalkan pengharaman Hindraf dan mempraktikkan kebebasan berkumpul sekiranya Najib mahu mengelakkan pemberontakan rakyat yang serupa seperti di Timur Tengah.

Beliau seterusnya menjelaskan, hanya dengan cara itu kesemua rakyat Malaysia dapat berkumpul bersama menyatakan keinginan mereka.

"Ini merupakann hak asasi yang dipinta oleh kaum sejagat untuk keadilan dan masa depan yang lebih baik," tegas beliau.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Najib dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidddin Yassin sedar bahawa gema pemberontakan Timur Tengah boleh dirasakan di sini walaupun kedua-duanya menafikan kebenaran tersebut.

Kata beliau, walaupun Najib dan Muhyiddin mendakwa Malaysia tidak serupa dengan Mesir mahupun Tunisia, tetapi jauh di dalam hati mereka sedar arus revolusi yang dahagakan perubahan sudah mula bergema di Malaysia dan kesannya berkemungkinan dapat dirasakan pada pilihanraya umum ke-13 akan datang.

"Dan pada masa itu, kita akan melihat satu perubahan yang kekal," kata beliau lagi.

Kit Siang menambah, satu-satunya perubahan yang diperlukan oleh Malaysia adalah perubahan pemerintahan.

"Umno boleh berubah, tetapi Umno hanya boleh diubah dengan kuasa rakyat," tegas beliau.

Tiada ulasan: