HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Februari 2011

Bila ditegur, Umno BN makin membazir wang rakyat

Aziz Muda

JASIN: Para pemimpin Umno BN kini semakin melampau, sehingga sanggup melakukan pembaziran terhadap wang rakyat dengan berleluasa, tanpa memikirkan kesan buruknya kepada rakyat dan negara.

Amat dikesali apabila tindakan tersebut tetap juga dilakukan oleh para pemimpin Umno BN, walaupun telah ditegur secara berterusan oleh pihak pembangkang dengan pelbagai cara.

AJK PAS Pusat, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, malah lebih dikesali lagi apabila semakin ditegur, semakin menjadi-jadi pula pembaziran yang dilakukan oleh para pemimpin Umno BN, seolah-olah wang rakyat adalah milik peribadinya.

Menurut beliau, untuk menghadapi PRK Dun Merlimau, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Melaka turut melakukan pembaziran berleluasa termasuk melakukan pelbagai projek di luar keperluan rakyat dan dengan kos terlalu tinggi pula.

Katanya, antaranya termasuklah pembinaan jeti tercanggih di Merlimau yang melibatkan perbelanjaan amat besar yang sebahagian besar darpadanya masuk ke dalam poket para pemimpin Umno itu sendiri.

"Kita tidak nafikan, jeti perlu dibina untuk kepentingan rakyat terutama nelayan, tetapi tidak sepatutnya dibina jeti tercanggih yang menelan kos jutaan ringgit.

"Sepatutnya hanya dibina jeti yang hanya memenuhi keperluan rakyat sahaja, dengan kos yang berpatutan, kerana wang itu milik rakyat dan perlu dimanfaatkan dalam pelbagai aspek lain lagi untuk kepentingan rakyat," katanya ketika menyampaikan ceramahnya di Merlimau, di sini, malam tadi.

Selain itu, beliau turut kesal apablia Kerajaan Melaka turut melakukan pelbagai pembaziran lain lagi yang sebenarnya merupakan rasuah politik kepada para pengundi di Dun Merlimau yang akan membuang undi 6 Mac ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, kesemua itu dilakukan oleh para pemimpin Umno bagi membolehkan mereka kekal berkuasa, walaupun ia jelas merupakan penyelewengan kuasa dan salah guna wang rakyat.

Menyedari perkara itulah, katanya, tidak hairanlah jika para pemimpin Umno sanggup merampas kuasa dari Kerajaan Pakatan Rakyat yang berada di bawah kepimpinannya di Perak, bagi membolehkan mereka terus mengaut kekayaan dengan cara salah untuk kepentingan diri mereka sendiri.

"Jadi kepada para pengundi pelbagai bangsa di Dun Merlimau, faham dan sedarilah perkara itu. Jika tidak, kita pasti akan terus tertipu dengan sikap hipokrit, tidak bertangungjawab dan sandiwara para pemimpin Umno dan BN," katanya yang pernah menerajui Kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

Ceramah tersebut merupakan yang pertama dari PAS dan Pakatan Rakyat selepas penamaan calon Dun Merlimau, semalam, dan dihadiri ribuan penyokong PAS serta Pakatan Rakyat dan penduduk tempatan.

Turut berceramah malam tadi, Bob Lokman yang ternyata turut berbakat besar dalam mengetengahkan pelbagai mesej penting kepada orang ramai walaupun baru pertama kali muncul di pentas politik.

Tiada ulasan: