HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Februari 2011

Demo aman: Kerajaan Malaysia talam dua muka

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan Barisan Nasional yang sering menggunakan alasan ‘mencemarkan imej negara’ bagi menutup tindakan keras dan tidak profesional pihak polis menghalang Parti Hak Asasi dan juga kumpulan Hindu Rights Action Force (Hindraf) semalam adalah memalukan.

Sehubungan itu, Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung menggesa pihak kerajaan berhenti menggunakan sebarang bentuk kekerasan dan menuntut agar ruang diberikan kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat dan kritikan terhadap kerajaan.

Beliau berkata, sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggalakkan perhimpunan rakyat di Libya, maka beliau tidak seharusnya mempraktikkan muka dua talam dengan menahan rakyat Malaysia yang berhimpun secara aman seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

Tambahnya, Suaram mengecam tindakan pihak polis yang menghalang Parti Hak Asasi dan Hindraf untuk melakukan demonstrasi secara aman bagi membantah kandungan dalam novel 'Interlok' karya sasterawan negara, Datuk Abdullah Hussain semalam di sekitar Kuala Lumpur.

Suaram juga, katanya mengecam tindakan pihak polis menahan beberapa wartawan tempatan yang sedang menjalankan tugas dan ini telah menunjukkan sikap tidak professional dan tindakan melulu yang ditonjolkan oleh pihak polis.

Katanya, pihak polis juga telah secara jelas menyalahgunakan kuasanya dengan menggeledah barang peribadi serta menahan orang awam yang berada di sekitar jalan menuju ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Lebih teruk lagi, pihak polis menahan pemimpin dan pengikut kumpulan tersebut tanpa sebarang alasan dan sebab sebelum demonstrasi dilakukan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mengikut berita Malaysiakini (bertarikh 28 Februari 2011), sekitar 123 orang awam telah ditangkap termasuk 109 orang yang telah dilepaskan malam semalam dan 14 orang lain yang telah dibebaskan pada hari ini dari lokap Bukit Jalil.

Katanya, Suaram telah mengeluarkan kenyataan pada 25 Februari bagi menuntut pihak polis menghormati hak kebebasan suara rakyat serta tidak menghalang perhimpunan aman yang dianjurkan oleh Hindraf.

Namun, ujarnya polis enggan bertindak demikian malah telah membuat tangkapan terhadap 123 orang awam.

Tiada ulasan: