BANDAR JENGKA — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membidas dakwaan pembangkang kononnya kerajaan memperhambakan peneroka Felda tanpa memperdulikan kebajikan mereka.
Beliau berkata sejak Felda ditubuhkan 54 tahun lepas, peneroka yang dahulunya tidak mempunyai sebarang harta kini mampu berbangga dengan hasil yang dikecapi hasil penat lelah mereka.
“Kalau orang kata kononnya kita memperhambakan peneroka, hamba mana yang ada tanah seluas 10 ekar, hamba mana yang ada rumah batu atau rumah separuh batu ataupun sekurang-kurangnya bahagian depan batu.
“Rezeki tidak datang bergolek, ini semua kerana anda pilih kerajaan yang betul,” katanya ketika berucap pada majlis mesra bersama warga Felda Jengka 23 di sini, hari ini.
Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad.
Najib berkata janji pembangkang yang kononnya ingin melupuskan 300,000 hektar tanah Felda Plantations untuk diberi kepada generasi kedua dan seterusnya akan membawa malapetaka yang besar kepada peneroka.
“Sebab 51 peratus pelaburan dalam Felda Plantations adalah milik Koperasi Pembangunan Felda dengan dividennya peneroka dapat sebanyak 14 peratus. Itu lebih tinggi daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan amanah saham.
“Dividen ini tidak ada lagilah kalau bagi (tanah) kepada anak cucu. Sebenarnya kita dah kira kepentingan, masa depan anak cucu peneroka,” katanya.
Perdana Menteri (gambar) berkata usaha kerajaan memajukan masyarakat peneroka itu lebih berlandaskan kepada perjuangan Islam berbanding yang diperjuangkan parti pembangkang.
“Kalau kita nak perjuangkan Islam, Islam yang macam mana, yang miskin? Yang tidak ada tanah? Rumah robek? Itu bukan imej Islam yang diperjuangkan kerajaan, kita nak imej yang gagah perkasa dan hebat di mata dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Najib turut bersetuju memberi pertimbangan khas berhubung pembayaran Skim Insentif Tanam Semula kepada peneroka felda dalam Dewan Undangan Negeri kawasan Kerdau iaitu Felda Jengka 22, 23 dan 25.
Katanya perkara tersebut akan dirunding oleh Felda dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia. Pada majlis itu,
Najib turut merasmikan gelanggang futsal terbuka, dewan semai bakti, pusat jalur lebar dan merasmikan pecah tanah kilang biomass Felda Jengka 9 secara maya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan