HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Februari 2011

Uthayakumar : Umno-BN Didakwa Abai Masyarakat India

Ditulis oleh Radzi Razak


SHAH ALAM : Setiausaha Agung Parti Hak Asasi Manusia Malaysia (HRP) P. Uthayakumar menganggap Umno dan Barisan Nasional lebih banyak bermain 'wayang kulit' daripada memberi perhatian terhadap nasib masyarakat India yang tertindas.

Malah, perjuangan Kongress India Malaysia (MIC) dilihat tidak inklusif dan hanya mementingkan orang tertentu sahaja.

Bercakap kepada TV Selangor, Uthayakumar mempersoalkan mengapa begitu ramai rakyat India menyokong perjuangan Hindraf jika selesa hidup di bawah BN dan MIC dan betapa ratusan ribu rakyat India menyokong rali Hindraf beberapa tahun lalu.

"Dari awal lagi, jika UMNO mengambil kira kepentingan kaum minoriti India sejak awal, pada 25 November 2007, seratus ribu orang India tidak akan turun ke jalanan untuk luahkan ketidakpuasan hati mereka.

"Selepas Rali Hindraf pun, kerajaan Umno tidak serius dan buat banyak bermain wayang kulit yang beri gambaran seolah masalah masyarakat India sudah diselesaikan."

Uthayakumar mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa kaum India 'hanya memerlukan' BN yang mengambil berat terhadap masa depan dan kepentingan setiap kaum di negara ini.

Menganggap kata-kata itu sebagai hanya retorik, Uthayakumar yang juga Penasihat Undang-undang Hindraf bertanya soal kempen My Daftar yang sepatutnya membantu kaum India mendapat taraf kewarganegaraan dipandang sepi BN.

"Kempen MyDaftar seperti yang dilaporkan media. Mereka kata nak beri Kad Pengenalan surat beranak dan kewarganegaraan. Tapi dalam kiraan kami, terdapat lebih 450 ribu yang telah dinafikan semua ini walaupun telah turun temurun lahir di Malaysia."

Beliau turut menganggap kempen ini hanya 'melepaskan batuk di tangga sahaja' kerana tiada angka langsung diberikan mengenai bilangan sebenar masyarakat yang mendapat manfaat dalam hal ini.

"Sebelum inipun telah berpuluh kempen untuk daftar dilakukan namun berapa ribu orang yang telah diberikan kad pengenalan, sijil lahir dan kewarganegaraan dalam berpuluh kempen-kempen sebelum ini? Itu tidak dinyatakan tapi mereka terus menjalankan satu kempen demi satu kempen," katanya.

Tiada ulasan: