HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Februari 2011

Padi baru, tanam lebih kerap atasi kekurangan makanan

BERNAMA

Usaha menambah musim tanaman padi kepada lima kali setiap dua tahun dengan penggunaan varieti padi baru yang mampu menahan serangan serangga akan diperkenalkan bagi menghadapi masalah kekurangan bekalan makanan pada masa depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Hashim Abdullah berkata bagi memastikan perancangan itu berhasil meningkatkan hasil tanaman, sistem pengairan dan penggunaan teknologi moden perlu dipertingkatkan.

Langkah seperti itu perlu dirancang kerana menurut satu analisis sekumpulan penyelidik baru-baru ini menunjukkan masyarakat dunia dijangka berdepan masalah kekurangan bekalan makanan menjelang 2050 disebabkan pelbagai faktor termasuk pertambahan penduduk dunia yang dijangka meningkat kepada 9.2 bilion berbanding 6.8 bilion sekarang.

"Malaysia juga pastinya tidak terkecuali berdepan masalah kekurangan bekalan makanan, malah ada negara sudah berdepan masalah itu hingga berlaku rusuhan," katanya semasa merasmikan persidangan tahunan Pengairan dan Saliran ke-16 (MANCO) di Georgetown hari ini.

Setakat ini sara diri padi negara ialah sebanyak 70 peratus dan selebihnya 30 peratus atau 900,000 tan, diimport.

Persidangan dua hari itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) dan Persatuan Kebangsaan bagi Pengairan dan Saliran Pertanian Malaysia (MANCID) dengan tema "Kemarau, Banjir, Alam Sekitar: Pengurusan Keperluan Air Secara Sistem Lestari".

Katanya bagi mencapai hasrat meningkatkan bekalan makanan negara, konsep penggunaan teknologi dan pengurusan sumber air yang mampan merupakan kunci utama pembangunan sistem pengairan dan saliran pertanian negara pada masa depan.

Beliau berkata pembangunan infrastruktur perlu dilaksanakan bagi memastikan air dapat dialirkan dengan cukup tanpa pembaziran dengan pengurusan dari segi operasi dan penyelenggaraan perlu ditekankan agar sumber air dapat digunakan pada bila-bila masa.

"Permodenan sistem pengurusan air perlu dijana agar sektor pertanian negara menjadi lebih moden, dinamik dan berdaya saing setanding dengan negara-negara maju," katanya.

Hashim berkata sumber air yang baru seperti air hujan perlu dibangunkan untuk pelbagai kegunaan industri, domestik dan pertanian, selain itu pengurusan air ribut hujan dan penggunaan amalan pengurusan terbaik bagi mengurangkan masalah banjir.


Tiada ulasan: