HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Februari 2011

Taib Kemuka Syarat Untuk Elak Debat Tanah NCR-Baru Bian

TVS NEWS


SHAH ALAM : Penerimaan bersyarat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk berdebat berhubung isu tanah adat Orang Asal, dianggap sebagai cara halus pemimpin itu untuk menghindarkan dirinya.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sarawak, Baru Bian berkata, syarat yang dikenakan oleh Taib itu nyata satu alasan di samping ingin menyediakan hujah mereka apabila meminta Pakatan Rakyat mendedahkan terlebih dahulu maklumat yang dimiliki berhubung isu tanah adat itu.

"Dia (Taib) nak saya keluarkan bukti dulu, baru dia nak setuju. Ini mudah dan logik saja. Kita cuma nak debat. Kenapa kita perlu beri kepada dia bukti kita? Bukti itu kita akan keluarkan masa debat. Itu syarat kita berdebat. Mungkin saya percaya dia nak mengelak untuk teruskan debat.

"Dia mengatakan menerima debat tetapi mesti mengeluarkan bukti dulu. Saya kata baiklah, terima kasih kerana di menerima debat itu. Tetapi bukti itu kita hanya akan keluarkan semasa debat. Kalau dia nak bukti itu juga, sekarang sudah 200 kes dia ada di mahkamah. Itu pun sudah bukti. Kita akan keluarkan buktinya semasa berdebatlah," kata Baru ketika dihubungi Tv Selangor.

Menurut Baru lagi, ini adalah masa yang tepat untuk bertindak setelah sekian lama Taib Mahmud dan keluarganya mengaut keuntungan atas penindasan ke atas rakyat Sarawak.

Beliau menambah, rakyat Sarawak kini sudah mulai sedar dan bijak dalam menilai keadaan sebenar masalah Tanah Adat Bumiputera, khususnya masyarakat Orang Asal di negeri itu.

Tambahnya lagi, pihaknya sudah bersedia dengan bukti-bukti yang kukuh di samping meletakkan syarat agar debat tersebut dilakukan di tempat yang terbuka dan dihadiri oleh rakyat serta media.

"Banyak bukti. 200 kes di mahkamah itu satu bukti. Saya akan keluarkan bukti lain keputusan Mahkamah Tinggi itu yang penting kita akan keluarkan semasa debat itu.

"Kita sudah beri dia 3 tarikh. Minggu ini juga akan diadakan. Saya minta dia sediakan panel untuk berdebat dan juga saya cadangkan tempat, iaitu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching tempat terbuka dan besar supaya orang boleh datang dan media juga perlu ada," tambahnya lagi.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini menerima cabaran Ketua Majlis Pimpinan Negeri PKR, Baru Bian berdebat secara terbuka berkenaan isu tanah adat Orang Asal (NCR).

Laporan portal berita Theborneopost.com turut menyatakan Taib Mahmud meletakkan syarat bahawa Baru perlulah mengemukakan bukti kukuh menyokong dakwaan Baru bahawa kerajaan negeri Sarawak telah merampas tanah NCR.

Taib dilaporkan berkata demikian sebagai respons beliau bersabit cabaran Baru Bian kepada kerajaan Sarawak berdebat mengenai isu tersebut.

Baru membuat cabaran tersebut dan membidas dakwaan Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua serta Menteri Kemudahan Awam, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bahawa pihak pembangkang sentiasa mengungkit isu tanah NCR yang mana pada pendapatnya merupakan isu lapuk.

Awang Tengah dalam kenyataannya turut menafikan dakwaan tersebut dan mengatakan bahawa kerajaan tidak pernah merampas tanah dari mana-mana pemilik tanah di Sarawak.

Baru mencadangkan kepada Taib agar menghantar Awang Tengah ataupun Menteri Pembangunan Tanah, Datuk Seri James Masing untuk berdebat sekiranya Taib tidak dapat hadir.

Beliau juga mencadangkan agar debat tersebut diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dengan liputan dari stesen televisyen.

Baru seterusnya meminta kerajaan Sarawak memberikan respon dalam masa dua minggu dan hanya selepas itu, beliau akan menghantar surat jemputan rasmi untuk berdebat.

Tiada ulasan: