HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 Februari 2011

KSN harap perkhidmatan awam perbaiki penarafan bintang

BERNAMA


Tan Sri Mohd Sidek Hassan

PUTRAJAYA — Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berharap perkhidmatan awam yang menerima penarafan tiga bintang dapat memperbaiki prestasi mereka.

“Penarafan memberi gambaran tahap perkhidmatan yang mereka berikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Futsal Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Kompleks Futsal 1 Malaysia di sini hari ini.

“Musuh kepada hebat ialah baik. Kalau kita baik sahaja tidak baik. Kita mesti jadi hebat dalam mencapai matlamat kita,” katanya.

Berkongsi kekecewaannya ketika JPM mendapat penarafan tiga bintang dua tahun yang lalu, Mohd Sidek berkata penarafan itu menunjukkan jabatan itu berada pada paras sederhana dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Saya sememangnya kecewa tetapi kecewa sahaja tidak memadai. Saya telah berbincang dengan pegawai-pegawai saya bagaimana kami ingin menambah baik perkhidmatan untuk mendapat penarafan yang paling baik,” katanya.

Pada akhir bulan lepas, lapan kementerian termasuk JPM dan tujuh agensi pusat dan jabatan utama di bawah ketua perkhidmatan yang menunjukkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi.

Namun bagi Mohd Sidek apa yang sukar adalah untuk mengekalkan penarafan itu.

“Mesej telah disampaikan bukan sahaja kepada warga JPM tetapi seluruh perkhidmatan awam supaya mereka secara kebiasaan cuba melakukan yang terbaik untuk diri dan negara,” katanya.

“Kita tidak paksa untuk laksana nilai-nilai kerja yang baik sebegini tetapi saya yakin setiap orang akan melakukan yang terbaik dalam pekerjaan mereka,” katanya.

Mohd Sidek berkata tidak ada kementerian yang mendapat penarafan satu bintang kerana yang paling rendah adalah tiga bintang.

Tiada ulasan: