HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Februari 2011

Saman ekor: Kase di JPJ Wangsa Maju esok

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), menjemput semua mangsa saman ekor yang perlu memperbaharui lesen dan cukai jalan mereka untuk hadir ke Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju, esok.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau bersama barisan peguam Kase akan berada di sana sejam bermula jam 10 pagi bagi memberi khidmat nasihat kepada mereka yang mempunyai masalah disenarai hitam kerana enggan membayar saman ekor tertunggak yang tamat hari ini.

"Kita akan berada di sana esok juga untuk untuk melihat penyelarasan baru kadar kompaun kesalahan trafik yang berkuatkuasa 1 Mac, iaitu esok.

"Jadi kita seru kepada mereka yang ada masalah saman ekor tetapi perlu memperbaharui cukai jalan dan lesen esok, untuk buat pembaharuan tersebut di pejabat JPJ Wangsa Maju agar kami boleh membantu," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Esok akan berkuatkuasa kadar kompaun baru di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang dikeluarkan JPJ, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ianya ekoran kabinet sebelum ini menyusun semula kesalahan lalu lintas daripada tiga kategori kepada empat kategori, iaitu mengikut kelas kenderaan, tahap keseriusan dan jenis kesalahan, nilai kompaun bertambah mengikut tempoh pembayaran kompaun dan kompaun berganda akan dikenakan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan berulang.

Mengikut penyelarasan baru itu, pengguna jalan raya yang gagal menjelaskan kadar kompaun dalam tempoh 15 hari akan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200, seterusnya dinaikkan kepada RM300 sekiranya tidak dijelaskan dalam tempoh 30 hari.

Sementara pemandu yang gagal membayar saman dalam tempoh 60 hari pula akan diheret ke mahkamah.

Bagi pemandu yang menyumbang kepada kemalangan, kesesakan lalu lintas dan kesalahan berkaitan perkhidmatan teksi, kadar kompaun maksimum sebanyak RM300 akan dikenakan dan ia tidak akan dikurangkan walaupun dijelaskan lebih awal.

Tiada ulasan: