HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Februari 2011

Nasihat Najib Razak Kepada Gaddafi Umpama 'Mengata Dulang Paku Serpih'

TVS NEWS



SHAH ALAM : "Mengata dulang paku serpih, nasihat orang dia yang lebih" itu peribahasa yang digunakan oleh Ahli Parlimen Batu Tian Chua bersabit nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak mahukan pemerintah Libya tidak menggunakan kekerasan bagi menumpaskan bantahan orang awam di negara itu.

Tian berkata Najib Razak harus terlebih dahulu membendung keghairahan polis Malaysia melepaskan gas pemedih mata dan memukul rakyat setiap kali mereka berkumpul membantah pelbagai isu berkepetingan awam sebelum mengeluarkan nasihat sedemikian.

Tian berkata teguran Najib kepada pemimpin Libya Muammar Gaddafi tidak kena pada tempatnya, kerana kerajaan Umno-BN turut menggunakan kekerasan untuk menyuraikan tunjuk perasaan di negara, walaupun ia diadakan secara aman.

Contoh terbaru kekerasan polis yang didokong oleh Umno BN adalah himpunan rakyat bagi membantah usaha menaikkan harga air di Selangor pada Disember lalu.

Ratusan orang ditembak dengan gas pemedih mata dan pancutan air kimia walaupun mereka berkumpul secara aman untuk menyampaikan memorandum kepada Istana Negara.

Wanita dan kanak-kanak serta pelajar universiti menjadi mangsa kezaliman pihak berkuasa.

Tian berkata penggunaan polis anti rusuhan adalah taktik biasa yang digunakan oleh semua rejim diktaktor bagi kelangsungan politik mereka dan Malaysia tidak terkecuali dari amalan sedemikian.

"Najib sebenarnya tidak banyak beza dengan Gaddafi dan Mubarak atau diktator-diktator lain yang lama memerintah dan saya menganggap apa yang ditegur oleh Najib adalah satu hipokrasi yang sangat melucukan," katanya.

Media arus perdana kawalan Umno-Bn hari ini memberi liputan meluas kepada nasihat Najib mahukan Gaddafi berhenti daripada menggunakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan yang mahukan pemimpin itu berundur.

Tian berkata Najib sepatutnya mengambil iktibar daripada pergolakan di Libya, Mesir dan dunia Islam yang lain dalam usaha untuk menyelami keinginan rakyat untuk sebuah kerajaan yang amanah dan demokratik.

"Najib dilihat mewakili pemimpin seperti Gaddafi dan Mubarak, pemimpin dari parti poltik yang lama memerintah dan aspirasi rakyat ialah inginkan pembaharuan dan parti yang lama ini harus diganti dengan sistem yang lebih demokratik, dengan perkongsian kuasa yang lebih adil, hubungan antara kaum yang harmoni kerana rejim yang lama ini sama seperti apa yang berlaku di Malaysia," ujarnya.

Tian berkata sekiranya Najib mahu membuktikan kesungguhan beliau untuk menghormati prinsip demokrasi dan keadilan hendaklah dengan memansuhkan undang-undang zalim serta membenarkan tunjuk perasaan secara aman tanpa dikongkong polis.

"Kalau betul-betul Najib ikhlas perkara ini, saya mencabar agar Najib tarik kembali semua akta darurat yang kita telah digazetkan lebih 50 tahun, dan membenarkan perhimpunan aman tanpa gangguan polis serta membubarkan ISA, " katanya lagi.

Tiada ulasan: