HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Februari 2011

Yuhaizad sedia berkhidmat tanpa kira kaum

Hazayani Zakaria

JASIN: Calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau, Yuhaizad Abdullah bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira kaum.

Yuhaizad, 38, berkata kepada pengundi di Merlimau adalah jelas iaitu rakyat sentiasa di hatinya dan PAS.

"Saya akan berkhidmat untuk rakyat. Saya akan jumpa semua pengundi dan banyak isu yang akan dikemukakan.

"Tak ada janji khusus kerana saya bukan kerajaan tapi saya akan berkhidmat untuk rakyat. Saya yakin untuk menang dan rakyat di hati kami," katanya pada sidang media selepas selesai proses penamaan calon di Politeknik Merlimau, dekat sini hari ini.

Menurut Yuhaizad, beliau akan mengikut strategi kempen yang telah disusun oleh parti bagi memastikan kempen berjalan lancar dan mesej yang ingin disampaikan diterima pengundi.

"Saya akan mengikut strategi yang diatur oleh parti, saya akan turun berjumpa dengan seluruh pengundi Dun Merlimau.

"Kita tengok nanti bagaimana suasana kempen dan apa yang perlu diubah. Saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal," kata beliau yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa pada sidang media yang sama berharap tempoh kempen kali ini bebas daripada provokasi mana-mana pihak.

"Kita mengharapkan tempoh seminggu daripada sekarang ini akan berlaku aman dan tenang bagi membolehkan rakyat tanpa provokasi daripada mana-mana pihak untuk memilih calon kita Yuhaizad Abdullah untuk mewakili Pakatan Rakyat kali ini," katanya.

Terdahulu,sewaktu tempoh bantahan dibuka, PAS telah mengemukakan bantahan berhubung perletakan jawatan calon BN, Roslan Ahmad daripada sebuah syarikat kerajaan.

Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali berkata, jawatan Roslan dinyatakan sebagai 'tiada' sedangkan tiada surat perletakan jawatan diterima.

Bagaimanapun, bantahan itu ditolak dan Roslan Ahmad turut diumumkan sebagai calon BN.

Tiada ulasan: