HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Februari 2011

Saifuddin bincang dengan dua kumpulan mahasiswa UPM

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi menemui Kumpulan Pro-Aspirasi dan Persatuan Mahasiswa Islam UPM mengenai pilihan raya kampus.


PETALING JAYA: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah telah mengadakan pertemuan dengan dua kumpulan mahasiswa dari Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi membincangkan mengenai pilihan raya kampus (PRK).

Kedua-dua kumpulan mahasiswa yang ditemui beliau secara berasingan itu ialah Kumpulan Pro-Aspirasi dan Persatuan Mahasiswa Islam universiti itu.

Menurut Saifuddin, berhubung PRK, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersikap berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana kumpulan mahasiswa mahupun individu yang bertanding.

“KPT juga mahu PRK menjadi gelanggang politik yang sihat dan menyuburkan idealisme mahasiswa, dijalankan dengan licin, telus dan adil serta meningkatkan penyertaan mahasiswa dalam proses tersebut.

“Saya ingin tekankan bahawa PRK ini seharusnya dijadikan medan terbaik memberikan pendidikan politik dan demokrasi kepada mahasiswa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Alasan tidak munasabah

Merujuk kepada isu pilihan raya UPM, beliau menghubungi Naib Canselor, Prof Datuk Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi pagi semalam dan dimaklumkan bahawa kemenangan sekumpulan mahasiswa pada 22 Februari lalu dibatalkan oleh pihak universiti atas alasan yang tidak munasabah.

Menurut Saifuddin, beliau “tidak mengarahkan” Naib Canselor, sebaliknya “memberi pandangan” kepada pihak universiti tentang cara terbaik mengatasi isu tersebut.

Beliau berpendapat pembatalan kemenangan itu tidak wajar atas alasan kumpulan terbabit berkempen secara berkumpulan.

“Saya anggap alasan ini tidak munasabah kerana umum tahu bahawa pihak yang membuat bantahan itu sendiri adalah sebuah kumpulan juga. Ini diakui sendiri oleh seorang daripada mereka dalam perbincangan dengan saya hari ini.

“Pembatalan itu dibuat tanpa memberi peluang kepada pihak yang dibatalkan itu untuk membela diri,” katanya.

“Jika berlaku pembatalan atas alasan yang tidak munasabah ini, saya bimbang kita akan dilabelkan sama seperti Myanmar yang tidak mengiktiraf kemenangan Parti Liga Demokrasi Kebangsaan pimpinan Aun San Su Kyi dalam pilihan raya pada 1990.

“Atau Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Israel yang tidak mengiktiraf kemenangan Hamas dalam pilihan raya Palestin pada 2006,” katanya.

Beliau turut memuji sikap keterbukaan Naib Canselor UPM yang bertemu dan mendengar aduan kumpulan mahasiswa itu.

“Sikap keterbukaan beliau telah berjaya menyelesaikan isu tersebut dengan baik. Namun, saya kesal kerana terdapat juga sesuatu permintaan daripada sekumpulan mahasiswa tidak dilayan oleh pegawai tertentu sehingga menyebabkan insiden yang tidak diingini berlaku.

“Saya bukan menyokong permintaan mahasiswa itu, saya cuma kesal ia tidak dilayan. Saya juga kesal dan tidak bersetuju dengan tindakan sekumpulan mahasiswa yang menyebabkan kerosakan harta benda awam.

“Pun begitu, saya percaya jika permintaan kumpulan tersebut dilayan, maka insiden tersebut mungkin tidak akan berlaku,” katanya.

Tiada ulasan: