KUALA LUMPUR — Putera Mahkota Arab Saudi Putera Turki Abdullah al-Saud akan membekalkan dua pesawat Boeing 747 untuk membawa rakyat Malaysia, yang dipindahkan dari Mesir, dari negara itu ke tanah air.
Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi Tarek Obaid berkata, langkah itu yang dibuat bagi pihak syarikat itu dan kerabat diraja Arab Saudi akan membolehkan rakyat Malaysia yang dipindahkan ke Jeddah dari Mesir sejak semalam meneruskan perjalanan ke tanah air.
Putera Turki juga merupakan pengerusi PetroSaudi dan putera Raja Arab Saudi Raja Abdullah.
Menurut Tarek, keputusan itu menunjukkan komitmen Saudi kepada Malaysia.
Dalam pada itu pada sidang media di ibu negara petang tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga mengesahkan sumbangan putera itu.
Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada Putera Turki kerana sudi membiayai dua penerbangan menggunakan pesawat jumbo Boeing 747 untuk membawa balik pelajar Malaysia dari Jeddah ke Kuala Lumpur.
Najib juga mengucapkan terima kasih kepada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud, kerana membenarkan penggunaan ruang udara dan pendaratan pesawat Malaysia di Jeddah.
Najib memberi jaminan bahawa perbelanjaan pulang kesemua pelajar Malaysia dari Mesir ke tanah air ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Perdana Menteri berkata beliau akan merujuk dan berurusan dengan pihak terbabit iaitu Lembaga Tabung Haji, Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia mengenai perkara berkenaan.
“Ini supaya ibu bapa tak perlu menanggung belanja anak-anak mereka balik ke negara kita, melainkan mereka sudah tempah tiket sendiri... itu tak dapat kita bayar balik, itu urusan masing masing,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Ziarah Masjid di Masjid Jamek Kampung Baru di sini.
Najib berkata kerajaan mempunyai jumlah kasar kos terbabit tetapi beliau mahu berbincang dengan pihak berkenaan sebelum mengumumkannya.
“Saya tahu (kos) tetapi tidak mahu menyatakannya... lagipun hari ini ada sumbangan dari Putera Raja Arab Saudi (untuk menyediakan penerbangan pulang) jadi itu akan mengurangkan perbelanjaan kita, “ katanya dipetik Bernama.
Najib juga memaklumkan bahawa urusan perpindahan pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir berjalan lancar dengan setakat ini 6,800 pelajar sudah berada di Jeddah, Arab Saudi.
Pada hari ini sahaja, sebanyak 14 penerbangan dilakukan dengan membabitkan 3,500 pelajar, katanya.
“Saya menjangkakan bahawa urusan ini hampir selesai... selepas hari ini dan esok, ada sedikit lagi (pelajar) tapi kita akan teruskan sehingga semua rakyat Malaysia tak kira pelajar, mereka yang bermaustautin, yang berniaga dan juga pelawat dapat keluar dari Mesir,” katanya.
Perdana Menteri berkata Raja Abdullah memaklumkan kepadanya bahawa ruang udara Arab Saudi terbuka luas dan boleh digunakan sebanyak mana mungkin untuk penerbangan bagi tujuan pemindahan rakyat Malaysia dari Mesir.
“Ini satu penghargaan kepada Malaysia berdasarkan hubungan mesra antara kedua-dua kerajaan. Kita tak tahu mana masa kita perlukan bantuan kita perlukan bantuan dari negara luar,” katanya.
Merujuk kepada dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan tidak mempunyai wang untuk membawa pelajar terbabit keluar, beliau berkata ia satu lagi pembohongan dan fitnah yang besar.
“Apa yang saya umum hari ini jelas menafikan apa yang didakwa mereka,” katanya.
Menjawab satu soalan, beliau berkata parti pembangkang sepatutnya turut memberi bantuan kepada kerajaan kerana ini bukan soal politik tetapi keselamatan rakyat semuanya.
“Tak perlu politikkan soal ini. Orang hijau ke orang biru ke, bulan ke bintang ke semua kita bantu bawa balik mereka dengan selamat. Tak payah politikkan dan (tak perlu) sebar cerita yang tidak betul,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan