HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 Februari 2011

Mangsa banjir enggan pindah kerana mahu tengok TV, kata Adun

BERNAMA


Kenderaan yang melalui pekan Pagoh terpaksa melintasi kawasan yang terus dinaiki air semalam. — Foto Bernama

SEGAMAT — Sikap acuh tak acuh serta mengambil mudah ancaman bahaya adalah antara kekangan yang dihadapi pasukan menyelamat ketika cuba memindahkan mangsa banjir di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kemelah Datuk Ayub Rahmat berkata keadaan itu menyebabkan ada mangsa banjir yang lambat dipindahkan selain ada yang langsung enggan dibawa ke pusat pemindahan sementara.

“Ada di antara mereka tidak mahu keluar rumah kerana hendak menonton televisyen. Ada pula yang enggan keluar apabila kami tiba di rumah mereka.

“Mereka tidak sedar air telah naik sampai paras pinggang dan beranggapan masih selamat dan tidak perlu pindah,” katanya yang ditemui Bernama baru-baru ini.

Selain itu katanya, ada juga yang enggan memberikan kerjasama seperti memberikan butiran diri menyebabkan pihak berkuasa sukar memberikan bantuan sewajarnya.

Ayub berkata pemikiran sedemikian harus diubah khususnya ketika berhadapan dengan bencana bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Bagaimanapun kata beliau, masih ada di antara mereka yang bukan saja mengalu-alukan bantuan pihak berkuasa, tetapi turut membantu mangsa banjir lain.

“Ada mangsa dari sebuah rumah di Taman Indah, Bukit Siput sangat gembira dengan kedatangan kami kerana hendak pergi ke pusat pemindahan bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Sikap itu harus dicontohi demi kepentingan bersama, kata beliau.

Dalam pada itu, keadaan banjir di Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang hampir pulih sepenuhnya dengan jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan kekal dan hanya beberapa pusat pemindahan masih lagi dibuka.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir yang berada di dua pusat pemindahan di daerah Jasin, pagi ini kekal 446 orang sepertimana semalam.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri Melaka berkata keadaan itu berikutan limpahan air dari Sungai Kesang, yang terletak bersempadan dengan Johor.

Walaupun cuaca cerah dan tiada hujan, pengaliran air dari kawasan hulu menyebabkan air Sungai Kesang melimpah terutama ke kawasan rendah, katanya ketika dihubungi.

Di Negeri Sembilan, hanya satu pusat pemindahan iaitu di Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Gemas yang masih lagi dibuka di negeri ini.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata setakat pukul 9 pagi ini, terdapat 498 orang mangsa daripada 133 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan berkenaan.

Keadaan banjir di PAHANG pula semakin pulih dengan hanya melibatkan daerah Rompin yang masih menempatkan mangsa banjir seramai 53 orang daripada 11 keluarga.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, hanya dua pusat pemindahan yang masih dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan Denai dan Balairaya Kampung Lubuk Batu.

Sementara itu, daerah Temerloh telah pulih daripada bencana itu selepas kesemua 417 mangsa banjir telah dibenarkan pulang.

Tiada ulasan: