JOHOR BARU – Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman menegur rakyat Johor yang ghairah berjudi di Singapura sejak akhir-akhir ini.
Beliau berkata kerajaan negeri sudah maklum mengenai kelakuan ramai penduduk terutama di Johor Baru yang sering ke Singapura untuk berjudi.
“Pihak kasino (di Singapura) dilihat menyediakan pengangkutan bas pelancongan percuma sehingga ke bandar-bandar kecil seperti Kluang dan Pekan Nenas bagi mengumpan penduduk untuk datang berjudi di kasino negara itu,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina di Wisma Persekutuan Tionghoa Johor Baru hari ini.
Beliau menasihati rakyat supaya tidak terjerat dengan tabiat berjudi yang boleh meruntuhkan ekonomi dan institusi keluarga.
Isu judi dibangkitkan oleh Presiden Persekutuan Tiong Hua Johor Baharu, Lim Ik Kim yang berucap sebelum Ghani di majlis tersebut.
Beliau menggesa kerajaan negeri supaya mengawal dan memantau penduduk Johor yang pergi ke Singapura untuk berjudi.
“Kami menganggap ini sebagai masalah sosial yang sangat serius kerana sejumlah besar yang terlibat meminjam wang dengan Ah Long untuk menjelaskan hutang judi mereka,” kata Lim.
Selain itu beliau berkata masyarakat Cina di Johor Baru dijangka menghadapi kekurangan kawasan jirat dalam tempoh lima tahun lagi berikutan pertambahan penduduk tempatan dan migrasi penduduk dari negeri lain.
Katanya kebanyakan tanah jirat milik persatuan Tiong Hua yang dibuka sejak 1960-an di daerah Johor Baharu sudah hampir habis digunakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan